KOTA BHARU – Bunyi transaksi kemasukan wang ke dalam akaun bank pada mesin kod respons pantas (QR) mampu mengelakkan peniaga-peniaga daripada ditipu pelanggan yang menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian.
Presiden Persatuan Batik dan Kraf, Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata, seramai 100 peniaga di bazar berkenaan telah menggunakan kaedah itu sejak tahun lalu.
Menurutnya, setakat ini tiada laporan diterima daripada peniaga di pasar tersebut mengenai penipuan pembayaran pelbagai barangan ketika menggunakan perkhidmatan kod QR.
“Bunyi transaksi kemasukan wang melalui mesin QR itu mampu mengelakkan peniaga daripada ditipu. Apabila tiada bunyi itu, peniaga tidak akan memberikan barangan yang dijual kepada pelanggan.
“Menerusi kaedah QR, peniaga juga tidak perlu lagi menyediakan wang yang terlalu banyak di premis mereka kerana semua hanya menggunakan kaedah pembayaran online,” katanya.
Nik Rosmawati memberitahu, setakat ini semua peniaga di Bazar Buluh Kubu berpuas hati dengan penggunaan QR apabila tiada rungutan dan laporan mengenai kes penipuan.
Menurutnya, menerusi kaedah itu juga, pelanggan boleh membayar barangan yang dibeli dengan cepat dan mudah walaupun ketika ramai pelanggan sedang berurusan di premis.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Berek 12, Azira Kamarudin berkata, seramai 24 daripada 56 peniaga di pasar yang menjual pelbagai barangan harian itu sudah menggunakan QR.
Katanya, peniaga tersebut sudah menggunakan selama dua tahun dan setakat ini tiada sebarang masalah termasuk kes penipuan.















