“DARI kecil saya memang ada satu cita-cita sahaja iaitu mahu menjadi mekanik.
“Itulah sebabnya saya sambung pengajian dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan memfokuskan teknologi motosikal.”
Itu ungkap remaja lelaki dari Terengganu yang suatu ketika dahulu pernah tular dengan jolokan Mowgli Malaysia, Muhammad Syukur Khamis.
Dia yang lebih mesra disapa dengan nama Syukur tular dek kerana gambarnya yang memperlihatkan keakraban dengan sekawan kerbau ketika berusia 14 tahun.
Keakrabannya dengan kerbau ternakan bapa sering menjadi tumpuan lensa jurugambar tempatan dan antarabangsa sehingga beberapa fotonya pernah memenangi anugerah.
Lama menyepi, tiba-tiba jejaka berzodiak Leo yang kini berusia 20 tahun itu tular semula baru-baru ini dengan kejayaannya menggenggam segulung sijil Sijil Kemahiran Mara (SKM) Tahap 2 yang berjaya diterimanya selepas setengah tahun berhempas pulas menamatkan pengajian di Giat Mara (GM) Hulu Terengganu.
Syukur diraikan pada majlis konvokesyen GM Hulu Terengganu ke-38 pada 3 September lalu.
Kepada K-Kampus, Syukur ketika dihubungi mengucapkan ‘syukur’ atas tamatnya pengajian dan memperoleh SKM Tahap 2.
“Alhamdulillah setelah enam bulan bertungkus-lumus dan saban hari berulang- alik dari rumah ke GM Hulu Terengganu, akhirnya saya dapat genggam Sijil SKM Tahap 2 bagi Kursus Teknologi Motosikal.
“Syukurlah saya akhirnya berjaya ada sijil dan tamat pengajian dalam kemahiran. Saya tidaklah hilang ke mana-mana, cumanya fokus dengan pelajaran.
“Saya sendiri memang minat dalam bidang kemahiran sejak kecil dan minat dengan motosikal berkuasa tinggi. Tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia, tanpa berfikir panjang saya terus daftar masuk GM.
“Kebetulan, abang kandung saya juga salah seorang tenaga pengajar di GM Hulu Terengganu. Dia sendiri galakkan saya masuk dan ikuti program kemahiran yang saya minati,” katanya.

Ditanya mengenai kerjayanya yang ketika ini sebagai mekanik di bengkel abangnya, anak bongsu daripada lapan adik-beradik ini memberitahu dia mula membantu abangnya sejak tamat belajar awal bulan lalu.
JELASNYA, dia bekerja di situ atas kerelaan hatinya sendiri tanpa disuruh dan niatnya cuma satu iaitu mahu mengasah lagi bakatnya membaiki motosikal berkuasa tinggi.
“Sebenarnya ada sahaja saya terima tawaran bekerja menerusi e-mel daripada beberapa syarikat dan bengkel sebagai mekanik. Kebanyakan memang di Terengganu, tetapi saya ‘tolak tepi’ dahulu tawaran itu kerana mahu membantu abang kandung di bengkel miliknya.
“Saya memang nak bantu dia kerana di siang hari dia sibuk mengajar di GM Hulu Terengganu. Malam hari barulah dia berada di bengkel.
“Jadi, pada sebelah siang, memang saya seorang yang akan ambil alih dan bantu urusan di bengkel. Kadang-kadang memang tak menang tangan juga, tapi saya seronok,” katanya seraya tertawa kecil.
Tambah anak kelahiran Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu itu lagi, buat masa ini dia mahu fokus membantu abangnya dan mahu mencari pengalaman terlebih dahulu sebelum melebarkan sayap kelak.
Syukur mengakui, minatnya kepada motosikal besar juga banyak dipengaruhi oleh rutin hidupnya yang sejak kecil ‘menunggang’ kerbau.
“Dahulu masa kecil petang-petang berkubang dengan kerbau, kini kita ‘bermain’ dengan kuda besi pula,” katanya berseloroh.
Berkongsi mengenai kos penyelenggaraan motosikal yang dibaikinya, ia biasanya bermula daripada RM300 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kerosakan dan model.
Katanya, kos tersebut agak tinggi kerana kebanyakan alat ganti motosikal dibeli dan diimport dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia dan Thailand.
Bercerita lanjut mengenai apa yang dipelajarinya di GM sebelum ini, Syukur memberitahu, sepanjang enam bulan dia belajar mengikut modul yang telah disusun atur pihak institusi.

Jelasnya, kursus Teknologi Motosikal terbahagi kepada 17 modul dan kursus yang diambil adalah sepenuh masa.
“Saya berulang-alik setiap hari dari rumah ke GM sepanjang hari Ahad hingga Khamis. Setiap perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit. Kelas akan bermula seawal pukul 8 pagi sampailah 5.15 petang.
“Dalam kursus yang dipilih, saya dan rakan-rakan didedahkan dengan teknik dan cara membaiki motosikal berkuasa tinggi mengikut modul ditetapkan serta teknologi terkini yang diaplikasikan,” jelas Syukur.
Katanya, boleh dikatakan 80 peratus kursus yang diambil bersifat praktikal dan selebihnya adalah teori serta ujian amali.
“Sepanjang enam bulan itu juga, macam-macam jenis kerosakan motosikal didedahkan kepada kami termasuklah masalah enjin dan banyak lagi,” katanya.
Syukur memberitahu, dia ada perancangan mahu menyambung ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sama (SKM Tahap 3 atau diploma) tetapi bukan dalam waktu terdekat.
“InsyaAllah perancangan itu memang ada tetapi bukan dalam waktu terdekat. Kalau nak sambung sekali pun, saya tetap akan pilih bidang TVET dan kursus sama.
“Sebab pada saya TVET ini ada segalanya dan sangat laku dalam apa jua kerjaya yang memerlukan kemahiran.
“Tidak semua orang minat kemahiran. Jadi, jika kita ada kemahiran, pasti orang akan cari. Sebab individu yang ada kemahiran itu ‘rare’ dan tidak ramai.
“Jadi, bagi anak muda lepasan sekolah, ambillah kemahiran dan pilihlah TVET mengikut apa sahaja bidang yang anda minat dan suka. TVET itu luas dan ada semuanya,” tuturnya bersemangat dan berbangga menjadi sebahagian alumni GM di Malaysia.
Ditanya perancangannya lima ke 10 tahun akan datang, Syukur memberitahu, dia mempunyai impian untuk membuka sebuah bengkel motosikal berkuasa tingginya sendiri. Jelasnya, dia mahu menjadi mekanik berjaya dan terkenal dengan kemahiran membaiki motosikal berkuasa tinggi suatu hari nanti.
Pada masa sama ujarnya, dia tidak akan lupa asal usulnya dan titik permulaannya tular suatu masa dahulu iaitu mahu menjadi penternak yang berjaya.
“Buat masa ini saya memang ada dua kerja. Pagi sampai petang saya memang di bengkel abang. Sibuk uruskan bengkel dan ‘berminyak’ dengan motosikal pelanggan untuk dibaiki.
“Waktu petang pula saya akan bantu bapa jaga kerbau dan lembunya. Saya masih lagi sama seperti dulu. Cumanya sekarang dah ada dua kerja,” tertawanya lagi.
Beritahu Syukur, dia seronok membantu bapanya menjaga ratusan kerbau, kambing dan lembu kerana ia juga salah satu terapi bagi dirinya melepaskan lelah kerja di siang hari.
Di sebelah malam, Syukur turut akan membantu abangnya di bengkel selain memantau ternakan.
Menutup perkongsian, Syukur menyeru agar lebih ramai anak muda mengambil jurusan kemahiran kerana ia langsung tidak merugikan, malah memberi nilai tambah dalam hidup.














