Peluang untuk Global Sumud Flotilla ketika ini, terdiri daripada kira-kira 50 buah kapal dan bot sampai ke Semenanjung Gaza sekali gus memecahkan kepungan sekian lama Israel sangatlah tipis.
Armada kapal bantuan itu mula belayar dari bandar Barcelona, Sepanyol pada 1 September lalu dan terkini, diserang oleh gerombolan dron tidak dikenali yang menggugurkan ‘flash grenade’.
Israel sebelum ini bertegas bahawa Tel Aviv tidak akan sesekali membenarkan flotila itu memecahkan kepungannya.
Tel Aviv pernah beberapa kali menyerbu flotila serupa yang menuju ke Gaza sebelum ini.
Peristiwa yang sukar dilupakan apabila komando-komando Israel menyerbu kapal Turkiye, MV Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 ketika aktivis-aktivis kemanusiaan membawa bekalan asas untuk penduduk Palestin di Gaza.
Mereka membunuh sembilan pekerja kemanusiaan termasuk lapan warganegara Turkiye semasa konfrontasi di atas kapal tersebut.
Dunia seperti biasa dan sejak sekian lama, bertindak balas dengan melancarkan kecaman hebat terhadap Tel Aviv, namun mereka yang bertanggungjawab setakat yang penulis tahu, tidak dibawa ke muka pengadilan.
Insiden itu membuktikan bahawa Israel tidak teragak-agak menggunakan kekerasan membunuh terhadap sesiapa sahaja yang cuba membantu rakyat Gaza.
Bagaimanapun kali ini, armada bantuan yang bergerak adalah jauh lebih besar dan melibatkan peserta berbilang negara.
Tujuan sebenar mereka adalah memecahkan kepungan laut Gaza yang menurut undang-undang antarabangsa, tidak sah lagi bercanggah.
Tiada satu pun kapal flotila sebelum ini berjaya berlabuh di Gaza, dan kali ini kebarangkalianRejim Zionis bertindak lebih keras bukan sesuatu yang mustahil.
Meskipun dua negara menghantar kapal perang bagi melindungi aktivis-aktivis yang turut serta, adakah kapal-kapal ini berani bertindak jika sesuatu di luar jangkaan berlaku.
Adakah global sumud flotilla ini akan juga akan mengalami kegagalan?
Para peserta tahu apa yang Israel boleh lakukan terhadap mereka. Namun, mereka masih meneruskan pelayaran.
Mungkin mereka berharap dengan penyertaan begitu banyak kapal kecil serta bot sementelah perhatian dunia, akan dapat menyanggah Israel.
Penulis tidak pasti dan tiada jawapan untuk ini. Ia bergantung kepada persepsi masing-masing. Namun, apa yang penulis boleh katakan dengan penuh pasti adalah mereka ini berani, berani dalam erti kata sebenarnya.
Mereka ini lebih berani daripada negara-negara yang bertubi-tubi mengecam Israel. Para peserta flotila tiada kemampuan dan kekuatan senjata, namun gagahkan juga demi saudara seagama dan kemanusiaan.
Mereka ibarat contoh hidup ungkapan William Shakespeare, ‘The valiant never die but once’.
Akhir kata, Tuhan lindungilah Global Sumud Flotilla.














