BERKESEMPATAN menonton Konsert Live Elite’25 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini ternyata menghiburkan semua. Pendek kata, persembahan kumpulan dijuluki Spice Girls Malaysia itu cukup ‘rempah’ sekali gus ‘menampar’ mulut-mulut yang memandang rendah kemampuan ibu-ibu itu sebelum ini.
Bak bait kata lagu Tamparan Wanita: “Jangan kau cabar, aku bukannya selemah yang kau sangka” diterjemahkan dalam konsert itu yang disifatkan ‘malam penuh magik’ oleh KLCC dengan nyanyian kelima-lima mereka yang ‘surprisingly’ sedap selepas 30 tahun.
Dewan juga sekali imbas penuh penonton tidak kiralah yang bertaraf ‘kertu’ (berusia) atau Gen-Z. Di sebalik kecaman harga yang mahal pada pengumuman awal konsert sebelum ini, boleh dikatakan hampir semua kerusi berharga RM238 sehingga RM1,088 di tingkat 1 Plenary Hall berpenghuni.
Dikecam juga sebelum ini berangan hendak buat konsert dengan persembahan bakal semput, Elite memberi reaksi bahawa itu akan dijadikan pembakar semangat mereka.
Konsert kumpulan Elite boleh disimpulkan mantap, bertenaga dan sukses apatah lagi mengambil kira kumpulan ini sudah lama tidak membuat comeback berlima dengan anggota asalnya, Linda Rafar, Azza, Abby Abadi, Watie Sadali dan Sasha Saidin.
Bagi penulis, inilah hasil kegigihan. Tidak dikenali sebagai kumpulan bersuara ‘power’ mereka berjumpa hampir setiap malam selama tiga bulan untuk berlatih dan berusaha membaiki mutu vokal dan persembahan. Ibarat sedar dipertikaikan netizen akan kemampuan mengadakan konsert untuk menyanyi dua jam setelah tersingkir awal di GegarVaganza, mereka berusaha memberi yang terbaik untuk konsert.
Video-video mereka berlatih turut dikongsikan dari semasa ke semasa sekali gus membuat peminat semakin percaya kesungguhan mereka. Pernah juga video mereka berlatih dengan guru vokal tular dan dipuji netizen akan kegigihan itu sehingga ada yang mula tergerak mahu beli tiket.
Malam 20 September lalu kerja keras mereka diterjemahkan di atas pentas dengan jayanya. Abby bahkan yang demam panas juga menggagahkan diri demi Elite dan peminat walau kemudian dikhabarkan dikejarkan ke hospital kerana influenza. Terkesima jugalah dibuatnya apabila dia melontar rap memukau pada lagu GIG.
“Siapa netizen-netizen tu yang kata suara mereka ke laut? Berbaloi mereka pergi kelas vokal,” kata seorang netizen di TikTok dan dijawab seorang lagi “Mujur aku tak dengar kata ramai orang, nasib sempat beli tiket, kalau tak, tak dapat pergi konsert gempak macam ni,” katanya.
Seleksi lagu yang dibawa tidak mengecewakan, malah penonton berdiri dan menyanyi bersama terutama pada lagu Trauma, GIG, Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu.
Elite ditubuhkan pada tahun 1995 oleh KRU Records. Menurut Watie sebagaimana yang dikongsikan dalam satu wawancara podcast baru-baru ini, kumpulan itu ditubuhkan berlima agar seiring dengan kumpulan fenomena Spice Girls di Barat yang baru muncul ketika itu.














