BERMULA 30 September ini, stesen minyak pastinya lebih ‘sibuk’ daripada biasa apabila menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif.
Situasi beratur panjang serta mengambil tempoh lama untuk mengisi minyak atau pulang hampa kerana cip MyKad bermasalah antara kemungkinan yang dapat dilihat.
Lebih menyukarkan apabila sistem pengesahan MyKad atau seumpamanya tergendala menyebabkan pengguna mungkin perlu mengeluarkan belanja lebih tatkala mereka sebenarnya dapat berjimat.
Ini kerana bermula 30 September ini, lebih 16 juta orang tanpa mengira had pendapatan layak menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter. Turun enam sen berbanding kadar pada masa ini ialah RM2.05 seliter.
Bagi yang culas memperbaharui lesen, perlu diingat anda tidak layak menikmati harga subsidi baharu ini, justeru perlu membayar pada harga tanpa subsidi dengan anggaran RM2.60 seliter.
Menerusi subsidi RON95 di bawah program inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) ini, setiap individu yang layak akan menikmati 300 liter minyak sebulan.
Jumlah itu bersamaan dengan RM597. Penjimatan total RM18. Bagi sesetengah orang mungkin nampak kecil, namun tidak untuk sebilangan pengguna susah.
Sepasang suami isteri yang mempunyai lesen memandu aktif mendapat subsidi RON95 sebanyak 600 liter sebulan, lebih jauh perjalanan dinikmati apabila isteri tidak bekerja.
Bagi suami yang menggunakan motosikal, jumlah itu pastinya cukup untuk perjalanan ke tempat kerja, membawa keluarga bercuti dan pulang ke kampung halaman.
Menerusi inisiatif ini, warga asing akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi dengan pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut.
Mengambil kira ‘kekalutan’ ketika proses pembelian barangan menggunakan Sara RM100, pelaksanaan Budi95 dibuat secara berperingkat bermula polis dan tentera pada 27 September, manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), boleh menebus 28 September.
Perlu diingat pelaksanaan subsidi RON95 adalah sama seperti penghargaan Sara RM100 iaitu menggunakan MyKad.
Sekiranya anda tiada masalah ketika menebus penghargaan Sara, maka cip MyKad tersebut terbukti dalam keadaan baik. Tidak perlu berpusu-pusu ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara. Setiap stesen minyak juga akan dilengkap alat pengimbas MyKad.
Di sini juga, peranan anak-anak memastikan MyKad ibu bapa dan lesen memandu mereka aktif. Buat wakil rakyat, ambil tanggungjawab menyebarluaskan maklumat agar semua dapat menikmati subsidi RON95.
Selain penggunaan MyKad, penerima manfaat diberi pilihan untuk menggunakan opsyen digital antaranya Touch ‘n Go, e-wallet serta Setel untuk membuat transaksi bayaran.
Apa yang penting ketika ini, lesen memandu anda aktif. Maka, lebih elok individu dalam kitaran 2.3 juta pemegang lesen yang tamat tempoh ‘beratur’ di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jika semua prasyarat utama dipatuhi, maka bertenanglah semua nikmati RON95 pada harga RM1.99, usah ‘kalut’ di stesen minyak hujung bulan ini.
Diharap dengan langkah ini, kerajaan boleh melihat sudut penguatkuasaan bagi mengekang penipuan atau penjualan semula subsidi RON95.
















