fbpx
Li Tian mencapai rating puncak (peak rating) FIDE sekitar 2530 pada September 2019.

Penganalisis data Grandmaster catur pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA dewan Corus Hotel KLCC, Kuala Lumpur seakan terhenti saat Yeoh Li Tian membuat langkah terakhirnya menentang wakil Indonesia, Nayaka Budhidharma.

Dengan dua bishop yang bergerak seiring, pemuda berusia 25 tahun itu menguasai papan langkah demi langkah sebelum menutup permainan dengan penuh bergaya.

Kemenangan tersebut bukan sahaja mengesahkan gelaran juara kejohanan GM-IM Invitational 2025 bersama hadiah RM10,000, malah melengkapkan norm GM terakhirnya yang menjadikannya Grandmaster pertama Malaysia. Norm GM ialah singkatan bagi Norma Grandmaster iaitu prestasi cemerlang bagi kejohanan catur rasmi.

Detik ini bukan sekadar kejayaan di atas papan catur, tetapi simbol ketekunan, inspirasi dan bukti bahawa kerja keras mampu menembusi batas yang disangka mustahil. Li Tian mengakui berasa lega setelah berjaya meraih gelaran Grandmaster kerana prosesnya mengambil masa panjang dan pernah terganggu akibat pandemik Covid-19.

Walau begitu, pencapaian tersebut tidak dirasakannya sebagai sesuatu yang terlalu mengejutkan kerana dia sudah lama bermain pada tahap cemerlang.

Bagi dirinya, gelaran itu lebih membawa kepuasan kerana akhirnya dapat mengesahkan status yang lama diusahakan.

“Gelaran ini tidak terlalu mengejutkan kerana saya sudah lama bermain konsisten dan mengumpul mata ke arah itu.

“Apa yang saya rasa lebih kepada kepuasan, kerana akhirnya usaha sekian lama untuk mengesahkan status Grandmaster tercapai.

“Tetapi saya rasa gembira juga sebab sebenarnya dapat lebih cepat daripada apa yang saya jangka,” katanya kepada K-Remaja.

Sebagai rekod, seorang pemain perlu melalui proses panjang dan konsisten untuk mendapat gelaran Grandmaster (GM).

Bermula dengan menguasai asas catur, mereka menyertai kejohanan tempatan untuk mengumpul pengalaman serta penarafan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Apabila semakin mahir, pemain akan menyertai kejohanan antarabangsa yang lebih kuat dan berpeluang meraih norm GM dalam sesuatu kejohanan.

Untuk layak menjadi GM, seorang pemain mesti mengumpul tiga norm GM daripada kejohanan berbeza serta mencapai penarafan FIDE sekurang-kurangnya 2500.

Setelah syarat tersebut dipenuhi, FIDE akan menyemak keputusan, mengesahkan dan nama pemain diumumkan secara rasmi di laman web FIDE sebagai Grandmaster.

LI TIAN (dua dari kiri) menunjukkan bakat bermain catur sejak kecil.

Mengulas mengenai permulaan permainan catur, pemuda dari Puchong, Selangor itu mula bermain sejak berusia dua atau tiga tahun.

Li Tian dan abangnya diajar oleh bapa mereka yang juga seorang pemain catur Master peringkat kebangsaan sekitar 20 tahun lalu.

Pada mulanya, permainan itu hanya bertujuan pendidikan, namun kemudian bakat dan minatnya dalam catur mula terserlah.

Sekitar usia lima hingga enam tahun, anak bongsu daripada dua beradik itu mula menyertai kejohanan tempatan terbuka.

Pada usia tujuh tahun pula, Li Tian sudah mewakili Malaysia dalam kejohanan mengikut kategori umur dan di situlah bermulanya perjalanan membina kerjaya caturnya.

“Ayah mengajar abang dan saya bermain catur sekadar untuk pengetahuan. Tapi minat dan bakat saya terus mekar sehingga saya meneruskannya ke peringkat lebih tinggi.

“Setelah meningkat remaja, saya banyak belajar secara kendiri melalui kajian permainan sendiri, analisis permainan pemain profesional serta mengikuti perkembangan trend dan teori catur terkini,” katanya.

Bagi pemuda yang bekerja sebagai penganalisis data di sebuah syarikat swasta itu, tidur yang cukup merupakan perkara paling penting sebelum menyertai kejohanan.

Dalam persediaannya, Li Tian akan menganalisis gaya permainan lawan untuk mengenal pasti kelemahan sama ada dalam aspek taktikal atau positional.

Semasa perlawanan, Li Tian memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengekalkan tumpuan sepanjang permainan.

Setiap pusingan lazimnya berlangsung antara tiga hingga lima jam, dan ada kalanya dia perlu bermain sehingga dua pusingan dalam sehari.

Untuk tujuan kajian, Li Tian menggunakan chess engine serta pangkalan data permainan.

Pada hari-hari biasa, dia menumpukan perhatian kepada peningkatan diri dan variasi pembukaan.

Sementara pada hari kejohanan, fokus utama latihannya adalah persiapan khusus menghadapi lawan.

Pencabar terbesar yang pernah ditemuinya adalah juara dunia lima kali, Viswanathan Anand dari India.

Biarpun tewas, pengalaman itu sangat berharga dan semakin mematangkan permainannya.

Li Tian menjadikan Magnus Carlsen, bekas Juara Dunia yang memegang gelaran selama lebih 10 tahun sebagai idolanya.

“Pada kejohanan tahap Grandmaster, barisan pemain kebiasaannya tidak akan buat kesilapan besar, tetapi Carlsen tetap mampu mencari peluang.

“Dia boleh terus menekan lawan sehingga akhirnya ada kesilapan kecil yang berlaku, dan daripada situ dia berjaya mencipta kemenangan.

“Keupayaan menghasilkan ‘magic’ daripada kedudukan yang kelihatan biasa inilah yang membuatkan saya benar-benar mengaguminya,” katanya.

Bercakap tentang cabaran, Li Tian berkata, pemain catur Malaysia bukan profesional sepenuh masa kerana perlu membahagikan masa antara pelajaran, kerjaya dan catur.

Lawan antarabangsa pula kebanyakannya sepenuh masa dengan sokongan kerajaan, menjadikan kekurangan masa latihan sebagai cabaran utama.

Malaysia juga belum memiliki sistem rasmi pasukan kebangsaan yang membolehkan pemain bergelar profesional sepenuh masa seperti di Indonesia.

Walaupun populariti catur sudah berjaya menarik ramai pemain kasual, langkah seterusnya ialah mengenal pasti bakat untuk dibangunkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Malaysia kini menunjukkan peningkatan positif, khususnya dalam kalangan pemain muda yang berpotensi menjadi International Master atau Grandmaster.

“Antara yang menonjol ialah Anderson Ang Ern Jie, Kavin Mohan dan Poh Yu Tian. Saya yakin sekiranya ada sokongan penuh dari kerajaan, mereka mampu lebih menyinar,” katanya.

Aktif memberi motivasi di sekolah, kelab dan kem latihan, Li Tian mengakui kejayaannya melayakkannya untuk dijadikan idola bagi pemain muda.

Namun, dia mahu pemain muda terus melepasi pencapaiannya agar Malaysia terus melahirkan atlet catur berkualiti.

Kini fokus utamanya ialah menghadapi Sukan SEA di Bangkok 2025, Thailand di mana dia berharap dapat menyumbang pingat emas dalam acara berpasukan.

“Saya merupakan pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam catur pada Sukan SEA 2019, jadi saya harap dapat ulangi sekali lagi.

“Kali ini saya akan hadir dengan gelaran Grandmaster, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN