DI tengah-tengah kesedaran global mengenai krisis pencemaran laut, usaha mencari penyelesaian inovatif semakin penting.
Antara masalah paling besar yang sering diabaikan adalah sampah di dasar laut. Menurut anggaran, sisa di dasar laut menyumbang sehingga 94 peratus daripada jumlah sampah marin di seluruh dunia.
Sisa itu termasuk tayar, plastik, perabot dan logam berkarat yang terkumpul di laut dalam. Secara konvensional, penyelam digunakan bagi mengutip sampah di dasar laut, namun ia berisiko tinggi, mahal dan terbatas.
Rentetan itu, muncul projek ‘groundbreaking’ SEarch, identificAtion and Collection of marine Litter with Autonomous Robots (SEACLEAR) yang membangunkan robot selam automatik dengan tangan robotik gergasi untuk mengutip sampah dari dasar laut secara sistematik dan selamat.
Menurut Pengerusi Kawalan Teknologi Maklumat di Universiti Teknikal Munich (TUM), Dr. Stefan Sosnowski, projek SEACLEAR dibangunkan di bawah inisiatif Horizon 2020 Kesatuan Eropah yang melibatkan kerjasama pihaknya bersama TU Delft, Fraunhofer CML, Universiti Dubrovnik, Universiti Cluj-Napoca dan beberapa rakan industri lain.
“Fokus utama projek ini adalah membina satu ekosistem robot autonomi yang boleh mencari, mengenal pasti, mengutip dan mengeluarkan sampah laut secara menyeluruh tanpa memerlukan campur tangan manusia secara langsung.
“Lebih daripada sekadar inovasi teknologi, projek ini mewakili langkah awal ke arah pengurusan sisa marin yang mampan dengan kos dan risiko lebih rendah,” katanya dalam temu bual bersama portal, Mirage News.
Tambahnya, sistem SEACLEAR terdiri daripada beberapa komponen utama yang saling bergantung.
Ia bermula dengan bot tanpa pemandu (USV) bernama SeaCat yang memetakan dasar laut menggunakan teknologi pengesanan sonar. Pemetaan itu membantu mengesan objek besar seperti tayar atau paip.’
Dari USV juga dilancarkan sebuah dron udara yang digunakan untuk meninjau permukaan laut, mengesan sampah terapung atau halangan di kawasan operasi.
Data daripada miniTortuga akan diproses oleh sistem kecerdasan buatan (AI) bagi membezakan antara sampah dan hidupan laut.
“Bahagian paling menarik dalam sistem SEACLEAR adalah robot pengutip utama iaitu kenderaan bawah air dikenali sebagai Tortuga. Robot ini dilengkapi ‘tangan’ robotik gergasi atau gripper yang mampu mengangkat objek seberat 250 kilogram.
“Tangan robotik ini mempunyai empat jari mekanikal dengan ruang angkut sebesar kira-kira satu meter padu.
“Dengan daya genggaman sehingga 4,000 newton, ia boleh mengutip pelbagai objek seperti tayar kereta, jaring besi sehinggalah botol plastik,” ujarnya.
Keunikannya terletak pada sensor halus yang dipasang pada jari-jari tersebut bagi membolehkan robot mengawal kekuatan genggaman.

Ia boleh menggenggam kuat bagi objek berat, tetapi cukup lembut apabila mengendalikan sampah ringan tanpa merosakkan kawasan sekitarnya.
Penggunaan tangan robotik itu memberi kelebihan besar dalam operasi di laut. Sampah besar yang selama ini mustahil dikutip penyelam secara manual, kini boleh diangkat dengan selamat.
Objek yang berbahaya atau tajam seperti logam karat juga boleh dipindahkan tanpa risiko mencederakan manusia.
Sampah-sampah yang dikutip dimasukkan ke dalam bakul pengumpulan yang dibawa USV, sebelum dihantar ke daratan untuk pelupusan.
Dalam satu demonstrasi di Pelabuhan Marseille, Perancis, SEACLEAR berjaya mengangkat tayar kereta, kerusi terbuang dan pelbagai sisa plastik lain.
Bagaimanapun, teknologi itu tidak terlepas daripada cabaran teknikal.
Hal ini kerana operasi bawah air memerlukan kuasa tenaga yang besar.
Justeru itu, robot utama perlu dihubungkan dengan kabel dari USV untuk mendapatkan bekalan elektrik dan data.
Penyelidik daripada Universiti Dubrovnik menjelaskan, tanpa kabel, bateri hanya mampu bertahan selama dua jam.
“Selain itu, keadaan air keruh, arus deras dan dasar laut yang tidak rata menuntut algoritma AI lebih canggih bagi memastikan robot mengenal pasti sampah dengan tepat.
“Kos pembangunannya sangat tinggi, namun kajian menunjukkan sistem ini lebih berbaloi apabila digunakan pada kedalaman melebihi 16 meter, di mana kaedah konvensional tidak lagi praktikal,” kongsinya.
Dari segi manfaat, SEACLEAR membawa impak besar kepada alam sekitar.
Sampah laut bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah mengancam ekosistem.
Plastik boleh memerangkap ikan atau penyu, tayar lama boleh merosakkan dasar, manakala logam berkarat mengeluarkan bahan kimia berbahaya.
Dengan pembersihan dasar laut, habitat dapat dipulihkan, biodiversiti terjamin dan kesihatan manusia yang bergantung pada hasil laut turut dilindungi.
Di samping itu, laut yang lebih bersih dapat meningkatkan daya tarikan pelancongan terutamanya bagi negara seperti Croatia dan Perancis yang menjadi lokasi demonstrasi projek tersebut.
“Dari sudut sosial, tangan robotik SEACLEAR mengurangkan risiko keselamatan penyelam. Pekerjaan mengutip sampah di perairan laut dalam selama ini berisiko tinggi akibat arus deras, jarak pandang terhad serta objek berbahaya.
“Dengan adanya robot ini, penyelam boleh menumpukan pada kerja saintifik atau konservasi lain yang memerlukan kemahiran manusia.
“Malah, teknologi ini membuka peluang baharu dalam industri pembersihan laut yang boleh dikomersialkan,” katanya.
Ujarnya lagi, pelbagai pihak termasuk pelabuhan, agensi maritim, malah syarikat pelancongan boleh melanggan perkhidmatan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan usaha kelestarian mereka.
Biarpun projek SEACLEAR tamat secara rasmi pada Disember 2023, namun legasi teknologinya masih berterusan.
Kini, para penyelidik meneliti cara memperluaskan penggunaan sistem itu ke kawasan lain termasuk perairan yang lebih dalam.
Untuk menjadikannya lebih praktikal, usaha sedang dibuat bagi mengurangkan kos, meningkatkan ketahanan robot dan memperbaiki keupayaan AI mengenal pasti sampah.
Kerjasama awam dan swasta serta kesedaran masyarakat menjadi penentu sejauh mana penggunaan teknologi tersebut pada masa depan.














