BERLIN – Angkatan bersenjata Jerman merancang pelan untuk merawat 1,000 anggota tentera yang berpotensi cedera setiap hari sekiranya perang tercetus antara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Russia, di tengah-tengah amaran NATO bahawa Moscow berkemampuan melancarkan serangan bermula 2029.
Akhbar Arab News melaporkan, Moscow menolak dakwaan mengatakan Kremlin sedang bersiap sedia untuk berperang dengan pakatan tentera Barat.
Namun, pencerobohan terbaru jet dan dron Russia ke wilayah NATO menimbulkan kebimbangan konflik akan meletus.
Pakar Bedah Jerman, Jeneral Ralf Hoffmann berkata, jumlah askar cedera dalam konflik itu akan bergantung kepada intensiti pertempuran dan unit tentera yang terlibat.
“Sebenarnya, kita bercakap tentang angka kira-kira 1,000 anggota tentera NATO yang cedera setiap hari,” katanya dalam satu temu bual.
Tentera Eropah termasuk perkhidmatan perubatan, meningkatkan persediaan menghadapi kemungkinan konflik dengan Moscow susulan pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Jerman juga sentiasa menyesuaikan latihan perubatannya, dengan memasukkan pengajaran daripada perang di Ukraine.
“Sifat peperangan berubah secara dramatik di Ukraine,” kata Hoffmann yang memetik peralihan daripada kecederaan akibat tembakan kepada luka kerana letupan dan melecur disebabkan oleh dron serta peluru berlegar.
Hoffmann menganggarkan keperluan untuk kira-kira 15,000 katil hospital daripada jumlah kapasiti hospital Jerman iaitu sehingga 440,000.
Perkhidmatan perubatan tentera Jerman yang berjumlah 15,000 orang juga akan diperluaskan untuk memenuhi permintaan masa depan, tambahnya. – AGENSI