KUALA LUMPUR – Kawasan sekitar Jalan Chow Kit terutama di Lorong Haji Taib berubah menjadi ‘lubuk rezeki’ setiap kali bulan Ramadan.
Pelbagai pihak yang mahu berkongsi rezeki dengan golongan asnaf dan gelandangan akan menghantar makanan ke sana setiap hari.
Tinjauan Kosmo! selama dua hari bermula pukul 7 malam hingga 2 pagi mendapati, kenderaan persendirian, wakil hotel dan peniaga bersilih ganti mengagihkan juadah berbuka.
Namun, di sebalik limpahan makanan di Chow Kit, lokasi gelandangan lain di ibu kota, sunyi tanpa bantuan sehingga ada yang hanya makan sekeping roti bersulam air paip untuk berbuka.
Di Chow Kit, ada yang datang dengan bekas berisi nasi berlauk ayam, ikan dan daging, bubur lambuk, tidak kurang juga membawa kotak makanan lengkap bersama air minuman dan kuih-muih.
Dalam tempoh singkat, longgokan bungkusan makanan memenuhi kaki lima sekitar lorong berkenaan, malah ada antara penerima yang hanya makan satu atau dua suap dan selebihnya dibuang ke tong sampah.
Seorang penduduk dikenali sebagai Zie, 40-an, mengakui, mereka tidak pernah terputus bekalan makanan sepanjang Ramadan.
“Jika diikutkan, memang tidak sempat lapar. Selang lima minit ada orang hulur makanan. Kadang-kadang belum habis makan, dapat lagi satu plastik.
“Kami bersyukur, tapi bila terlalu banyak, ada yang terpaksa ditinggalkan sebab sudah kenyang. Kebanyakannya nasi berlauk, makanan berat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi Siti, 42, situasi lambakan makanan biasanya berlaku pada hujung minggu antara Khamis hingga Ahad. Tahun lepas memang banyak yang membazir. Tak dinafikan, berbungkus makanan dibiarkan basi tanpa diusik sebab banyak sangat.
“Tahun ini, ada yang kami terima dua hingga tiga hari, saya simpan untuk panaskan. Bagi anak-anak yang tak berpuasa, mereka boleh makan sebelum ke sekolah.
“Syukur makanan kami di sini sentiasa ada. Ramai hantar kongsi rezeki. Cuma kadang ada yang terpaksa dibuang sebab makanan cepat basi, dah bercampur dengan lauk berkuah,” ujarnya.
Tinjauan mendapati hampir keseluruhan makanan yang diagihkan terdiri daripada makanan utama dan berat, jarang sekali terdapat buah-buahan atau makanan ringan yang mudah disimpan.
Bagaimanapun, gambaran berbeza berlaku di sebuah lokasi di Jalan Pudu yang terletak tujuh kilometer dari Chow Kit.
Jika di Chow Kit makanan hadir tanpa henti, di Pudu, bantuan seolah-olah sukar ditemui. Tinjauan wartawan mendapati, hanya segelintir pihak tampil menghulurkan juadah, itupun tidak menentu masanya dan ada yang terpaksa berjalan jauh untuk mengambil juadah.
Seorang gelandangan dikenali sebagai Azman, 50, berkata, dia pernah berbuka puasa dengan hanya separuh roti dan air paip sebagai alas perut.
“Kadang-kadang tak ada siapa datang. Kalau ada duit lebih hasil minta sedekah, dapat beli roti sekeping. Air minum ambil dari paip. Itu sahaja untuk buka puasa. Nak ke masjid berdekatan, malu…kadang solat saya pun tunggang langgang, badan pun agak berbau, mesti yang lain tidak selesa,” katanya.
Menurutnya, ada hari mereka terpaksa menunggu sehingga lewat malam dengan harapan ada pihak datang mengagihkan makanan lebihan, namun tidak kesampaian.
“Kami macam berpuasa lebih 14 jam. Orang ingat semua tempat macam Chow Kit, tapi di sini tidak ramai yang tahu,” katanya.
Seorang lagi gelandangan, Lissy, 39, mengakui perlu menahan lapar disebabkan kekurangan sumbangan makanan.
“Saya kaki sakit, tidak larat jalan jauh. Sudah dua minggu puasa, baru empat kali yang lalu singgah dekat sini (terminal bas Pudu Sentral) dan bagi kami makanan untuk berbuka. Nak beli memang tiada duit,” katanya.
Selain di Jalan Pudu, antara lokasi lain yang sunyi dari pengetahuan penyumbang adalah di Jalan Pasar, Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Raja Laut dan di bangunan berhampiran Dataran Merdeka.














