fbpx
ORANG ramai mengambil sumbangan makanan yang diedarkan di Chow Kit baru-baru ini.

Pukul 11 malam hingga 1 pagi baru agih makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan, terutamanya gelandangan dan asnaf di ibu negara sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, walaupun bantuan makanan di kawasan tertentu seperti Chow Kit dilihat melimpah ruah sehingga hampir tidak sempat dinikmati penerima, masih terdapat ba­nyak kawasan lain yang kurang mendapat perhatian.

“Kalau ikut pengalaman tahun lepas, kita lihat lambakan makanan sering berlaku pada waktu tertentu, namun golongan gelandangan yang berada di kawasan lain kadang-kadang tidak menerima sumbangan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Beliau menekankan kepenti­ngan untuk memilih waktu penghantaran makanan yang sesuai agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya, sekali gus mengelakkan pembaziran.

“Banyak pihak datang lewat malam, sekitar pukul 11 malam hingga 1 pagi, jadi makanan itu kadang-kadang tidak sempat diagihkan kepada yang memerlukan kerana penerima sudah keletihan atau kawasan sudah kosong. Waktu berbuka adalah paling sesuai kerana makanan pasti habis dinikmati,” jelasnya.

Abbe Hae juga menekankan supaya penderma tidak tertumpu hanya di satu lokasi sahaja, malah perlu bergerak di lain-lain tempat kerana masih ada yang menanti sumbangan makanan.

“Di Chow Kit, kebanyakan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) telah memastikan bekalan makanan cukup. Untuk pen­derma persendirian atau lain-lain, ja­ngan hanya fokus di sini, ­pusinglah kawasan lain seperti Jalan Pudu, Jalan Pasar, Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Raja Laut dan lorong berhampiran Dataran Merdeka. Masih ramai gelandangan yang belum mene­rima juadah.

“Bila kita hantar makanan, lihat dahulu keadaan penerima. Kadang mereka sudah kenyang atau telah menerima juadah dari pihak lain. Jangan fikir perut kita, fikir mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Tambahnya, pemilihan jenis makanan juga penting, sebagai contoh makanan ringan atau yang mudah disimpan lebih se­suai untuk diagihkan, berban­ding juadah yang mudah basi.

Abbe Hae menegaskan, inisiatif ini bukan sahaja membantu golongan memerlukan tetapi juga memastikan makanan tidak dibazirkan dan setiap sumba­ngan benar-benar dimanfaatkan.

Sementara itu, wakil sebuah hotel di sini dikenali sebagai Zikry berkata, kawasan Chow Kit sememangnya diketahui sebagai lokasi tumpuan golongan gelanda­ngan dan asnaf, sekali gus memudahkan proses agihan bantuan dilakukan dengan lebih tersusun.

“Kalau di tempat lain, kita kena cari satu-satu. Kadang-kadang tak jumpa atau bersele­rak di banyak lokasi. Masa pun akan banyak terbuang dan cek satu-satu tempat, nak tengok dah dapat makanan ke belum.

“Di sini (Chow Kit) mereka memang ada di kawasan yang sama, jadi lebih mudah untuk kami agihkan bantuan. Lebih jimat masa, makanan sumbangan boleh terus habis tak sampai satu minit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN