fbpx
GRIL ‘kidney’ juga direka bentuk semula dengan palang menegak dan menyerong.

218 Gran Coupe Sport 2025 lebih matang, seimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada tahun 2020, model Gran Coupe kini menerima evolusi ketara dari segi reka bentuk luaran dan teknologi canggih.

Tahun 2025 menyaksikan kemunculan generasi baharu BMW 218 Gran Coupe Sport (F74) menggantikan model terdahulu BMW 218i Gran Coupe (F44) yang cukup popular di pasaran Malaysia.

Model terbaharu itu bukan sekadar facelift, tetapi hadir dengan reka bentuk luaran yang lebih segar serta talaan casis dan suspensi dipertingkat untuk pengalaman pemanduan lebih mantap.

Selaras dengan strategi penjenamaan baharu, jenama automotif dari Jerman itu tidak lagi menggunakan huruf ‘i’ bagi model enjin pembakaran dalaman (ICE) atau petrol, manakala model kenderaan elektrik (EV) BMW yang menggunakan ‘i’ sebagai contoh i4 dan iX.

BMW 218 Gran Coupe 2025 ini mempunyai ukuran dimensi lebih besar daripada model generasi sebelum ini dengan panjang bertambah 20 milimeter (mm) menjadi 4,546mm, 1,445mm tinggi, lebar kekal 1,800mm dan jarak antara roda 2,670mm.

Dari segi kuasa, jentera ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo tiga silinder yang menghasilkan kuasa 156hp dan tork 230Nm.
Ia dipadankan dengan transmisi Spectronic klac berkembar 7-kelajuan DCT yang mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 8.6 saat dengan kelajuan maksimum 230km/j.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model terbaharu 218 Gran Coupe 2025 bagi menilai sendiri keseimbangan jentera ini antara kecekapan dan prestasi yang ditawarkan.

Dari segi saiz, penulis boleh katakan ia agak praktikal untuk pemanduan urban dengan gayanya yang sporty dan model ini tiada kompromi dari aspek gaya dan teknologi.

Prestasi dinamik BMW 218 Gran Coupe Sport dipertingkat menerusi casis yang direka semula sepenuhnya.

MODEL Gran Coupe generasi terbaharu ini memiliki dimensi lebih besar dan panjang berbanding generasi sebelumnya dengan ruang but 430 liter.

Sistem suspensi hadapan menggunakan jenis single-joint MacPherson strut, sementara gandar belakang kini disepadukan dengan high preload anti roll bar dan kinematik gandar belakang yang dioptimumkan.

Ini memberikan kesan langsung terhadap ketepatan ketika mengendalikan stereng, kestabilan ketika membelok serta keselesaan ketika memandu.

Ketika meluncur di jalan bandar dan lebih raya, penukaran gear lancar dan responsif dengan prestasi agak baik dalam kelasnya tersendiri, cukup agresif untuk memberi rasa ‘premium sporty’.

Enjin 1.5 liter turbo tiga silindernya walaupun efisien tetapi dalam pecutan tinggi bunyi bising dan getaran menjadi sedikit ketara.

Pun begitu, jika dibandingkan 218 Gran Coupe 2025 dengan kereta biasa, kadar kesenyapan kabin (NVH) model ini lebih tinggi kerana reka bentuknya aerodinamik dengan talaan casis lebih baik.

Walaupun model terbaharu 218 ini menawarkan rupa coupe atau fastback yang menarik, tetapi ruang kepala untuk penumpang belakang mungkin tidak setinggi sedan tradisional di pasaran.

Bagaimanapun, ruang but berkapasiti 430 liter amat praktikal untuk kegunaan harian dan sesuai untuk pemanduan bersama keluarga jika membawa muatan agak banyak.

Dari segi reka bentuk, perubahan paling ketara ialah gril ‘kidney’ atau buah pinggang BMW yang direka semula dengan palang menegak dan menyerong, dipadankan dengan lampu utama LED adaptif berserta fungsi antisilau dan lampu selekoh.

Di bahagian belakang, lampu LED menegak yang lebih menonjol serta diffuser yang dibentuk semula menampilkan postur lebih lebar dan kukuh.

Penampilan luaran diperkemas dengan rim aloi 18 inci dwitona, trim exterior line satin aluminium dan cermin sisi berwarna hitam berkilat bagi menyerlahkan keyakinan dan garis Gran Coupe dari pandangan sisi.

Meninjau ke ruangan kabin, BMW 218 Gran Coupe Sport generasi kedua ini menampilkan BMW Curved Display yang menggabungkan kluster digital 10.25 inci dan skrin kawalan 10.7 inci.

Sistem digital itu dikuasakan oleh perisian BMW Operating System 9 dengan fungsi QuickSelect seperti telefon pintar.

Fungsi ini membolehkan navigasi pantas, widget peribadi dan kawalan suara semula jadi melalui BMW Intelligent Personal Assistant.

Aspek keselesaan dipertingkat dengan kerusi sport dibalut kulit Veganza material mesra alam dengan trim dalaman aluminium graphite, lampu ambien serta konsol tengah baharu menempatkan pengecas tanpa wayar, pemegang cawan dan ruang storan praktikal.

Untuk bantuan pemanduan, model ini hadir dengan sistem Lane Change Warning, Rear Crossing Traffic Alert dan Exit Warning serta Parking Assistant yang menyokong Reversing Assistant sejauh 50 meter dan kamera undur.

Sistem hiburannya dipertingkat dengan BMW Live Cockpit Plus dan pengguna juga menikmati ciri BMW Digital Premium yang membolehkan penstriman video, muzik, permainan serta akses kandungan digital terus dari dalam kereta.

Turut ditawarkan fungsi BMW Digital Key Plus yang membolehkan kunci kereta dikongsi atau digunakan melalui telefon pintar tanpa perlu kunci fizikal.

BMW 218 Gran Coupe Sport ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Alpine White, Black Sapphire dan Cape York Green dengan tawaran harga bermula RM218,800 (tanpa waranti dan pakej servis).

Kesimpulannya, BMW 218 Gran Coupe Sport 2025 bukan sekadar kemas kini rekaan luaran tetapi sebuah coupe empat pintu yang lebih matang, seimbang yang telah ditambah baik dari aspek mekanikal dan teknologi.

Model ini menawarkan pilihan menarik bagi pengguna yang mahukan identiti jenama premium dan prestasi memuaskan tanpa kos terlalu tinggi seperti model kereta sport lain di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN