fbpx
ISU bekalan air, elektrik dan jalan raya yang tidak sempurna sering menjadi rungutan dalam kalangan rakyat Sabah.

Di kampung tiada elektrik, di bandar air selalu ‘putus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAH bakal berdepan dengan ujian demokrasi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Dengan landskap politik yang kerap bergolak, ada banyak perkara yang diinginkan rakyat negeri ini dan bukannya janji-janji kosong oleh bakal Yang Berhormat.

Semua tahu, Sabah ketika ini dihimpit dengan dugaan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan banjir kilat yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 13 nyawa.

Tidak cukup dengan itu, Sabah juga ketinggalan jauh dalam aspek kemudahan asas, iaitu isu pokok yang sekian lama menjadi perdebatan rakyat.

Kepada semua bakal calon PRN, ini lima perkara penting yang perlu kalian diselesaikan untuk sekurang-kurangnya mengubah nasib 3.5 juta rakyat Sabah.

Isu pertama adalah soal keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi apa juga bencana alam.

Hakikatnya, Sabah sering dilanda ujian alam seperti tanah runtuh di kawasan berbukit, banjir di kampung-kampung pedalaman dan ribut yang meragut kediaman rakyat kecil.

Rakyat mahu sebuah kerajaan yang lebih cekap, bukan hanya turun melawat selepas tragedi, tetapi mewujudkan sistem pencegahan dan bantuan segera.

Isu kedua pastinya aspek kemudahan asas yang lebih meluas dan adil. Isu air bersih, jalan raya berlubang, elektrik yang kerap terputus dan akses internet yang tidak sekata masih menjadi rungutan utama.

Di pedalaman, ada kampung yang terpaksa bergantung kepada air hujan dan sungai keruh. Di bandar pula, tekanan air masih rendah. Rakyat mahu pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah asas ini, bukan sekadar mengumumkan projek tetapi gagal melaksanakannya.

Isu ketiga berlatarkan kepada ekonomi dan peluang pekerjaan. Semua sedia maklum bahawa isu ini memaksa ribuan anak muda Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung semata-mata untuk mencari rezeki.

Dengan sumber alam yang kaya, rakyat mahu kerajaan yang mampu mengurus hasil bumi dengan telus, agar peluang pekerjaan, latihan kemahiran, dan peluang perniagaan boleh dinikmati oleh rakyat tempatan.

Isu keempat pastinya pendidikan dan kesihatan yang sempurna. Rungutan sekolah daif, guru kurang mencukupi, dan klinik kesihatan yang jauh dari kawasan pedalaman menjadikan rakyat berasa terpinggir.

PRN kali ini seharusnya menjadi titik tolak untuk calon yang benar-benar prihatin terhadap masa depan anak-anak Sabah dan kesejahteraan kesihatan rakyat.
Isu terakhir adalah soal politik stabil. Secara jujur, rakyat Sabah sudah penat dengan episod politik lompat parti dan pertukaran kerajaan yang berulang.

Kini, mereka mahukan pemimpin yang konsisten, berintegriti dan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi atau parti.

PRN akan datang bukan sekadar medan untuk meraih undi, tetapi lebih jauh dari itu, ia adalah peluang untuk membina semula keyakinan rakyat.

Bagi rakyat Sabah, perjuangan mereka kini bukan lagi tentang slogan, tetapi tentang kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN