fbpx
MUZIK tetap menjadi sebahagian daripada rutin harian Henley, namun platformnya sudah berubah iaitu semuanya sudah dihimpunkan di telefon pintar.

Henley lebih memilih Android, gajet muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN teknologi dan gajet moden memberi kesan besar terhadap cara hidup masyarakat termasuklah golongan artis. 

Bagi pelakon Henley Hii, perjalanan bersama gajet bermula sejak remaja dan terus berkembang seiring dengan peningkatan usianya. 

Walaupun mengakui dirinya bukanlah seorang yang terlalu mahir dalam bidang teknologi, Henley tidak menafikan gajet banyak membantu kerjaya seninya.

“Saya masih ingat telefon pertama dulu adalah Nokia 3210. Model telefon yang tebal dan berat itu pernah menjadi simbol gaya hidup ketika awal era 2000-an. 

“Itulah telefon pertama saya, walaupun berat tetapi pada ketika itu ia sudah cukup membanggakan,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno pada majlis Tayangan Perdana Legasi: Bomba the Movie di pusat beli belah IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Tambahnya, dari situ dia terus mengikuti perubahan dunia gajet. Pernah menggunakan peranti Apple pada suatu ketika dahulu, Henley kini lebih selesa sebagai pengguna Android. 

Baginya, sistem Android menawarkan lebih banyak pilihan aplikasi serta fungsi yang mesra pengguna. 

“Saya sudah lama beralih kepada Android, lebih fleksibel untuk kegunaan harian, malah kecanggihan telefon pintar hari ini sudah memadai untuk tujuan merakam gambar, menghasilkan video dan melakukan penyuntingan ringkas.

“Bagi saya telefon yang bagus sudah memadai dengan keupayaan merakam gambar dan video yang berkualiti,” ujarnya.

WALKMAN menjadi gajet muzik kegilaan anak muda suatu ketika dahulu sebelum kedatangan telefon pintar.

Bukan sekadar telefon, perjalanan Henley turut dihiasi dengan gajet muzik yang pernah popular suatu ketika dahulu. 

Dari era kaset dan walkman, kemudian pemain MP3, semuanya pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya. 

Kini, muzik tetaplah menjadi sebahagian daripada rutin hariannya, namun platformnya sudah berubah iaitu semuanya sudah dihimpunkan di telefon pintar.

“Jika dulu saya ada setiap gajet muzik tetapi sekarang semuanya boleh didengar menerusi telefon pintar dan apa yang melengkapinya adalah fon telinga berkualiti.

 “Sekarang saya lebih gemar menggunakan earbud, lebih mudah dan praktikal, malah audionya juga jelas dan berkualiti,” jelasnya.

Sebagai seorang artis, media sosial kini menjadi salah satu alat penting untuk mendekatkan diri dengan peminat. 

Henley mengakui, suasana dunia hiburan hari ini jauh berbeza berbanding ketika awal penglibatannya dalam bidang seni.

SEPERTIMANA walkman, pemain MP3 turut menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu dan menjadi simbol gaya hidup.

 “Semasa saya mula dahulu, media sosial belum berkembang. Paling awal pun Friendster dan saya menggunakan Instagram agak lewat.

“Sekarang peredaran zaman menuntut kepantasan. Peminat mahukan perkembangan terkini dengan segera jadi saya turut mengambil inisiatif mempelajari kemahiran penyuntingan video serta foto secara ringkas untuk dikongsi melalui media sosial,” ujarnya.

Henley percaya bahawa gajet dan teknologi memberi banyak manfaat kepada selebriti masa kini. 

Jika dahulu ruang interaksi amat terbatas, kini setiap artis boleh berkongsi karya, perkembangan kerjaya dan memori peribadi dengan lebih dekat bersama pengikut. 

Dari Nokia 3210 ke telefon pintar Android, dari walkman hingga ke earbud moden, perjalanan Henley membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar alat tetapi sebahagian daripada gaya hidup yang berkembang bersama zaman. 

Bagi Henley, ia bukan soal siapa paling mahir teknologi, sebaliknya bagaimana memanfaatkan gajet untuk kehidupan peribadi dan kerjaya seni agar kekal relevan dalam dunia hiburan yang sentiasa pantas berubah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN