PENGANJURAN persembahan membabitkan penghibur tempatan dan antarabangsa yang menyemarakkan arena hiburan tanah air semakin meningkat.
Daripada tiket serendah RM90 ke angka mencecah ribuan ringgit bagi satu tempat duduk, perkembangan progresif ini bukan hanya memberi manfaat kepada penggiat muzik, bahkan dapat menjana ekonomi negara.
Peminat luar yang berkunjung ke negara ini bagi menyaksikan konsert artis pujaan turut bercuti sambil berhibur, sekali gus berbelanja besar bagi makanan, tempat tinggal serta melawat tempat menarik.
Begitupun, pada ketika anak seni semakin mampu menarik nafas lega melihat sektor hiburan tempatan bernyawa berbanding selepas fasa Covid-19, masih ada penggemar yang mengharapkan persembahan pentas secara percuma.
Bukan menidakkan keperluan acara seni termasuk kebudayaan tanpa sebarang caj, namun perkara tersebut wajar dibuat bergantung kepada keperluan serta situasi acara dibawakan.
Paling utama, pihak berwajib mahupun penganjur harus mendidik masyarakat menghargai seni mahupun bakat penggiatnya termasuk artis dan kru di belakang tabir yang mencurah keringat demi memberikan aksi terbaik sepanjang penganjuran.
Secara tidak langsung, aksi mahupun persembahan berbayar juga membuatkan penonton lebih fokus terhadap hiburan dinikmati, selain lebih menghargai seni menerusi setiap sen yang dilaburkan.
Pemuzik, Edrie Hashim ketika mengulas isu ini memberitahu, antara penggiat seni yang tidak bersetuju persembahan hiburan dibuat secara percuma memandangkan setiap produksi mempunyai kos masing-masing.
Katanya, atas dasar itu, projek anjurannya dinamakan siri jelajah Pistol & Bunga yang bakal dijayakan di institusi pengajian tinggi (IPT) tetap mengenakan bayaran kepada penonton.
“Keputusan ‘showcase’ bertiket bukan untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai bentuk pendidikan agar masyarakat tidak terbiasa dengan persembahan percuma.
“Pendedahan seperti ini perlu diperkenalkan dari peringkat usia muda termasuk kepada pelajar supaya kita lebih menghargai usaha setiap pihak yang terlibat merealisasikan sebuah persembahan langsung.
“Jadi walaupun berkolaborasi dengan pihak universiti, tiket tetap dikenakan termasuk kepada pelajar. Awalnya terlintas nak buat percuma, tapi kami juga mahu didik orang ramai supaya menghargai persembahan yang menggunakan kos tinggi,” katanya.
Siri jelajah Pistol & Bunga berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan kerjasama Neo Gendang Records serta Fakulti Pengurusan Seni Budaya Aswara pada 20 September ini.
Menurut Edrie, projek membabitkan golongan muda juga diharap dapat membuka lagi minda generasi muda agar lebih menghargai kerja keras di sebalik penganjuran sesebuah persembahan langsung.
















