KUALA NERUS – Beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil inisiatif menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 untuk berniaga air balang .
Mereka yang pertama kali menerima bantuan kerajaan tersebut bukan sahaja memanfaatkannya untuk membeli barangan keperluan malah sebahagiannya telah menjadikannya sebagai modal berniaga dan membantu keluarga.
Salah seorang pelajar, Ismail Hassan, 23, dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, dia menggunakan sebahagian bantuan Sara diperolehi itu sebagai modal untuk berniaga air minuman.
“Saya berkongsi modal dengan seorang rakan dengan membeli barangan membeli barangan seperti kordial, gula dan susu peket manis untuk berniaga ‘air balang’ menggunakan sebahagian kredit RM100 diberi kerajaan.
“Sepanjang cuti semester ini, kami berniaga di tapak-tapak ekspo sekitar kawasan rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ismail berkata, dia dan rakannya memperolehi keuntungan hasil jualan air minuman tersebut sekali gus berjaya menggandakan wang RM100 diberi kerajaan.
Dia yang mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, pendapatan berniaga air minuman tersebut akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos sara hidupnya apabila kembali ke kampus universiti tidak lama lagi.
Seorang lagi pelajar, Aqila Nabaha Khairul Azhar, 22, pula menggunakan sebahagian pemberian Sara itu untuk membeli barangan keperluan buat keluarganya di rumah.
“Barang-barang saya beli itu tidaklah banyak, sekadar buat ‘tambah-tambah’. Seronok dapat belanja keluarga walaupun masih bergelar pelajar.
“Sebahagian lagi (baki bantuan Sara) saya beli makanan kering seperti biskut dan mi segera sebagai bekalan di kampus apabila mula pengajian nanti,” katanya.
Ikhwan Syabil, 22, pula berkata, pemberian Sara RM100 merupakan tambahan kepada Baucar Buku Madani juga dengan nilai sama yang turut dinikmati pelajar IPT seluruh negara.
“Kebetulan tarikh pemberian kedua-dua bantuan ini hampir serentak. Ia amat membantu kami untuk digunakan ketika belajar nanti,” katanya.
















