LAUTAN bukan sekadar hamparan biru yang memisahkan daratan, sebaliknya adalah pintu masuk ke dunia lain yang penuh dengan keindahan, ketenangan, dan rahsia ciptaan Tuhan.
Oleh kerana itu, menyelam ternyata merupakan aktiviti yang boleh membawa seseorang ke dunia yang masih menyimpan 1,001 khazanah alam.
Bagi pempengaruh Jaslin Puasa, 38, menyelam merupakan aktiviti yang kerap dilakukan olehnya dan sentiasa menjadi pilihan jika diberi kesempatan.
Menurutnya, berbekalkan latar belakang dalam bidang digital imaging photography dan reka bentuk dalaman, dia mempunyai perspektif unik ketika menyelami dunia dasar laut.
“Perjalanan saya sebagai penyelam bermula pada tahun 2017, apabila saya menerima tawaran daripada Oceanlab untuk membuat ulasan berkenaan aktiviti menyelam.
“Tanpa disangka, pengalaman pertama itu menjadi titik tolak kepada minat yang berkembang menjadi hobi tetap,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, menyelam ini lebih daripada sekadar aktiviti, ia terapi bagi dirinya dan memberi rasa tenang apabila menyaksikan kebesaran Tuhan di dasar laut.
Sejak itu, Jaslin telah merentasi lebih daripada 13 negara untuk meneroka pelbagai perairan dengan kedalaman mencecah antara 25 hingga 30 meter. Dari Tioman dan Sipadan di Malaysia atau Aceh dan Bali di Indonesia sehingga Sepanyol serta Iceland setiap lokasi menyimpan pengalaman berbeza.

Bagi Jaslin, keunikan setiap penyelaman terletak pada kepelbagaian hidupan laut dan landskap dasar yang menakjubkan.
“Kami sentiasa menantikan momen melihat haiwan laut atau landskap bawah air yang memukau.
“Bagi saya, lokasi selaman paling menarik yang pernah saya selam adalah di lautan Iceland. Dengan suhu cuma 2 darjah, penglihatan pemandangan tidak terbatas.
“Namun, di sebalik keindahan itu, aspek keselamatan tidak pernah dipandang ringan. Dunia penyelaman berpegang kepada prinsip asas iaitu safety, safety, safety & fun,” ujarnya.
Katanya lagi, prinsip itu menjadi pegangan semua penyelam agar keseronokan datang hanya selepas aspek keselamatan diberi keutamaan.
Selain itu, etika penyelam juga dititikberatkan dengan tidak menyentuh atau merosakkan terumbu karang apatah lagi mengganggu hidupan marin.
“Kami selalu diingatkan bahawa lautan ini bukan milik kita seorang tetapi warisan bersama yang perlu dijaga.

“Kepuasan sebenar bagi saya adalah apabila dapat melihat sendiri hidupan laut yang sebelum ini hanya wujud dalam filem,” kongsinya.
Sama ada berhadapan ikan bersaiz gergasi, berenang di celah terumbu karang berwarna-warni atau sekadar membiarkan diri hanyut dalam keadaan bebas graviti, pengalaman itu disamakan dengan perasaan menjadi angkasawan.
Namun begitu, menyelam juga hadir dengan cabaran tersendiri. Cuaca yang tidak menentu, arus bawah air yang kuat serta faktor keselamatan sentiasa menjadi perkara yang perlu dititikberatkan. Setiap penyelam perlu sentiasa bersedia dan berdisiplin untuk memastikan pengalaman kekal menyeronokkan.
Bagi mereka yang berminat memulakan langkah pertama dalam dunia menyelam, Jaslin menyarankan mencuba program ‘Try Scuba’ yang ditawarkan kebanyakan pusat selam.
“Ia biasanya bermula dengan latihan di kolam renang sebelum peserta memilih untuk meneruskan dengan lesen Open Water sebagai asas penyelaman.
“Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh saja check Instagram Oceanlab.diver,” katanya berseloroh.
















