PADANG BESAR – Pintu antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sesak sejak pukul 6 pagi semalam ekoran musim cuti sekolah.
Menurut pemandu bas pelancong, Nizam Rejab yang membawa 44 pelancong dari Klang, Selangor, mereka menuju ke Hatyai, Thailand untuk perjalanan sebuah syarikat.
“Kami bertolak dari Selangor pada pukul 10 malam dan tiba di Padang Besar pada pukul 9.15 pagi semalam.
“Kami terpaksa beratur dan menunggu sehingga tiga jam sebelum menghampiri pos imigresen Malaysia akibat kesesakan di pintu sempadan antarabangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Nizam berkata, dia difahamkan banyak bas pelancong dilencongkan dari Bukit Kayu Hitam-Danak ke Padang Besar berikutan terdapat projek pembinaan di laluan antarabangsa itu.
Beliau menambah, keadaan trafik di laluan sempadan kini lebih baik berbanding tahun 2015 hingga 2017, namun pelaksanaan sistem biometrik oleh pihak berkuasa Thailand menyebabkan sedikit kelewatan.
Tinjauan turut mendapati laluan motosikal mencecah sehingga 400 meter dari pos imigresen, manakala laluan kereta dan bas sepanjang kira-kira dua kilometer.
Di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar pula, kemudahan tren menjadi tumpuan pengunjung berikutan musim cuti sekolah ini.
Menurut seorang penumpang, Raina Razali, 32, laluan imigresen dan kastam juga sesak kerana ramai menggunakan perkhidmatan tren State Railway of Thailand.
“Walaupun orang ramai, keadaan masih terkawal dan perjalanan tren tetap mengikut jadual yang ditetapkan ke Stesen Kereta Api Hatyai,” katanya.















