Pancing layang atau fly fishing adalah satu seni memancing yang semakin mendapat tempat di hati pemancing Malaysia. Acara seperti Randuk for Lampam Volume 4 (RFLV4) merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan penggemar seni pancingan ini.
Di Perak, kumpulan yang dikenali sebagai Perak Fly Fishing Syndicate (PFFS) telah menjadi nadi utama dalam pembangunan sukan pancing layang.
Ditubuhkan pada tahun 2017, PFFS merupakan salah satu pertubuhan pancing layang yang berdaftar secara rasmi di Malaysia di bawah nama Pertubuhan Pemancing Layang Negeri Perak.
PFFS giat mempromosikan sukan ini dengan mengadakan pelbagai acara seperti ‘Randuk for Lampam’ di Sungai Kampar yang mengetengahkan cara memancing ikan menggunakan teknik pancing layang.
Mereka turut menekankan amalan catch and release (tangkap dan lepas) serta selalu bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk mempromosikan ekopelancongan dan kempen pemeliharaan sungai.
PFFS juga sering menganjurkan bengkel untuk mengajar kemahiran asas fly tying (mengikat umpan tiruan) dan fly casting (layangan tali layang), membuka pintu kepada pemancing baharu untuk menyertai komuniti.
Edisi keempat
RFLV4 telah memasuki tahun keempat penganjuran, edisi kali ini berlangsung dengan kehadiran hampir 120 orang peserta dari seluruh pelosok tanah air dan turut disertai peserta dari Singapura.

Bertempat di Campsite Kebun Atok Gonen Gopeng Perak, RFLV4 disempurnakan dengan perasmian oleh Yang Dihormati Toh Muda Orang Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Azman Yeop Junior, Orang Besar Jajahan Kampar Perak.
Acara RFLV4 ini turut mendapat sokongan penuh pelbagai pihak terutamanya Majlis Daerah Kampar dan pelbagai penaja.
Respons luar biasa pada tahun ini membuktikan bahawa sukan pancing layang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menjangkau lebih banyak generasi.
RFLV4 turut menekankan kepen- tingan menjaga kebersihan alam sekitar dan kelestarian alam, selari dengan etika catch and release.
Meskipun pertandingan ini fokusnya adalah pada ikan lampam, namun ikan daripada spesies lain seperti sikang dan sebarau turut mempunyai kategori.
Untuk setiap kategori, terdapat tiga orang pemenang, masing-masing membawa pulang hadiah baucar barangan pancing layang daripada pihak penaja.
Tidak lupa juga hadiah cabutan bertuah buat semua peserta sebagai penghargaan daripada pihak penganjur.
Selepas berakhirnya RFLV4, para pemancing sudah tidak sabar menantikan edisi berikutnya.
Kejayaan acara ini menjadi motivasi kepada pihak PFFS untuk menganjurkan acara berkaitan pancing layang pada masa hadapan.
Tahniah diucapkan kepada penganjur dan semua peserta RFLV4.














