fbpx
Siakap putih rakus membedal gewang selaman dalam ketika arus bertukar perlahan.

Barramundi ‘monster’ Papua Barat, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan siakap putih atau dikenali di peringkat antarabangsa sebagai barramundi merupakan spesies ikan predator yang menjadi buruan ramai pemancing. Salah satu hotspot ikan ini adalah di Papua Barat, Indonesia.

Kejayaan pengembaraan pertama memburu ikan black bass di perairan Kaimana sangat menggamit memori dan menimbulkan rasa rindu untuk bertandang lagi ke bumi Papua Barat, Indonesia.

Walaupun di Malaysia terdapat banyak sungai yang berpotensi untuk memburu siakap putih liar, saya secara peribadi ingin memburu trofi bersaiz mega untuk dijadikan kenangan seumur hidup.
Semasa saya di sini, banyak kali saya nampak ikan siakap putih dijual di pasar bersaiz lebih 10 kilogram (kg) yang ditangkap menggunakan cara tradisional. Ini menambahkan kemaruk saya untuk mengilatnya.

Plan awal

Perjalanan ke Papua Barat ini saya telah rujuk Dennis Pat kerana dialah yang telah membawa saya memburu black bass dalam trip sebelum ini. Kebetulan, dia sendiri telah mengatur satu trip bersama dengan pemancing dari Shanghai China, jadi dapat jugalah saya menyelit sama.

Saya berlepas dari Kuala Lumpur ke Surabaya, seterusnya ke Kaimana.

Setibanya di sana, saya perlu menunggu ahli lain dari Shanghai seramai enam orang, sebelum ke motherboat yang telah tersedia.

Malangnya, saya turut mendapat berita mendukacitakan kerana Pak Hakim selaku ketua guide tidak dapat mengikuti trip selama lapan hari itu kerana bergelut dengan masalah kesihatan.

Dia diganti oleh kapten kapal yang bertanggungjawab menjaga kami sepanjang berada di Kaimana.

Pemandangan pulau-pulau yang terdapat di sepanjang perjalanan ke Kampung Tarera.

Plan asal untuk ke Lakhia dibatalkan disebabkan kapten yang kurang berpengalaman di kawasan tersebut, lantas destinasi ditukar ke Kampung Tarera. Perjalanan mengambil masa sehari menggunakan motherboat itu agak membosankan. Trip yang lepas, kami boleh juga berhenti seketika dalam perjalanan untuk popping ikan giant trevally (GT), tetapi tidak untuk trip kali ini.

Kampung Tarera

Trip ini kami menggunakan empat buah speedboat yang memuatkan antara dua hingga tiga orang pemancing. Kami perlu ke kampung tersebut terlebih dahulu untuk meminta izin serta memberi sedikit sumbangan kepada penduduk kampung yang menjadi syarat wajib jika berkunjung ke tempat mereka.

Kampung Tarera penduduknya hampir 200 orang. Sempat juga saya mendapatkan info lokasi-lokasi yang berpotensi untuk memburu siakap putih bersaiz monster daripada mereka.

Menurut mereka, saya harus menumpukan kawasan yang berarus apabila air mula bergerak pasang atau surut. Tunggul-tunggul kayu serta reba yang banyak terdapat di sepanjang muara juga merupakan tempat terbaik untuk ikan pemangsa seperti siakap putih menghendap ikan-ikan kecil.

Kemudian, saya harus rajin menghantar gewang di tempat-tempat yang berpotensi tersebut dengan kerap menggunakan gewang selaman dalam atau permukaan. Apabila arus mulai perlahan dan keadaan air menjadi sedikit jernih, itu merupakan masa-masa keemasan yang tidak seharusnya disia-siakan.

Merujuk kepada carta air pasang surut, saya hanya mendapat sekali masa keemasan itu iaitu pada waktu pagi, dan ia sangat singkat, sekitar satu atau dua jam sahaja.

Dua hari awal, saya banyak membuang masa melontar gewang secara rawak (blindcast) ke sana sini tanpa pedoman dan di kebanyakan lokasi yang diterjah kosong tidak berpenghuni.

Saya terus mencuba sebelum boleh kenal dengan tepat waktu dan kawasan yang berpotensi untuk saya fokus pada hari-hari seterusnya.

Berbaki dua hari lagi membuatkan saya semakin tertekan, boatman bukannya arif sangat tentang lokasi yang berpotensi, ditambah lagi kerja hakiki mereka hanyalah membawa penduduk kampung ke bandar, bukannya pemancing.

Tanpa sonar dan hanya berbekalkan sedikit info daripada penduduk kampung, saya hanya mengharapkan keajaiban.

Trip kali ini terasa begitu sukar tanpa kehadiran Pak Hakim, sangat-sangat berbeza berbanding dengan trip black bass yang lepas.

Keajaiban

Hari terakhir seakan-akan tiada sinar bagi kami, semua pemancing seakan sudah berputus asa dan hanya berehat di dalam motherboat menunggu kapten menamatkan trip dan pulang ke bandar.

Saya dan Dennis membuat keputusan untuk mencuba buat kali terakhir, luncur ke satu anak sungai jauh dari sungai utama.

Dalam perjalanan menuju ke hulu sungai, kami terserempak dengan sekumpulan penduduk tempatan yang memancing di pertemuan muara dan satu anak sungai.

Kelihatan banyak anak-anak ikan bermain di kawasan tersebut, apabila air semakin surut, ia menghasilkan arus sehala yang menjadi tumpuan anak-anak ikan bermain, setelah diamati dapat dilihat kelibat olakan air mengejar sesuatu.

“Barramundi,” teriak Dennis. Tanpa membuang masa, saya melemparkan gewang permukaan yang ada di joran terus ke arah olakan air itu dan ia disambut kasar pemangsa.
Lompatan demi lompatan ikan untuk melepaskan diri berjaya saya kawal dengan kemas, kelibat ikan siakap putih itu lantas disambut tekong dengan penyauk.

Tidak menang tangan

Dengan naiknya ikan siakap putih pertama itu, ia seumpama deringan loceng seterusnya apabila kami strike seekor demi seekor pelbagai jenis ikan terutamanya ikan target iaitu siakap putih bersaiz mega.

Betul-betul kami berada di dalam waktu keemasan kerana ia berlangsung sekejap iaitu dalam tempoh tiga jam. Selain siakap putih, kami turut mendaratkan ikan black bass, tarpon dan seekor yu sirip putih.

Setelah arus semakin laju, kami membuat keputusan untuk balik ke motherboat dan menamatkan trip.

Hasil penat lelah tanpa mengenal putus asa berjaya mengubah keputusan trip kepada lebih positif untuk saya bawa pulang sebagai satu kenangan yang manis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN