KUALA TERENGGANU – Kesesakan dan kekerapan gangguan Sistem terminal MyKasih di pasar-pasar raya besar menyebabkan sebahagian pengguna mula memilih untuk menebus Sumbangan Asas Rahmah (Sara) di kedai-kedai runcit berhampiran rumah mereka.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit di sekitar bandar raya ini semalam mendapati urusan penebusan Sara RM100 untuk membeli barangan keperluan jauh lebih lancar tanpa perlu beratur panjang.
Salah seorang pengguna, Nur Fakhira Mohammed, 25, berkata, pengalaman beratur lebih dua jam di kaunter pembayaran pasar raya untuk menebus Sara membuatnya beralih ke kedai runcit.
“Tambah hampa pada masa itu, saya tidak dapat pun membeli barangan keperluan menggunakan Sara ekoran sistem terminal MyKasih tergendala.
“Dalam perjalanan pulang baru sedar kedai runcit berhampiran rumah saya di Losong pun boleh untuk menebus Sara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Nur Fakhira berkata, kedai runcit tersebut tidak kurangnya menawarkan banyak pilihan barangan keperluan seperti beras, minyak masak, sabun dan makanan dalam tin dengan harga tidak jauh berbeza dengan pasar raya besar.
Katanya, proses penebusan Sara untuk membeli barangan keperluan itu juga lancar dan tidak mengambil masa lama tanpa perlu beratur.
Zainon Awang, 58, pula berkata, dia hanya berjalan kaki untuk membeli barangan keperluan dengan menebus Sara di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya di Seberang Takir, Kuala Nerus dekat sini.
“Saya tidak perlu memandu ke pasar raya besar di pusat bandar raya sekali gus menjimatkan petrol dan masa.
“Harap lebih banyak lagi kedai-kedai runcit dapat menawarkan perkhidmatan menebus Sara pada masa terdekat,” katanya.
Kata seorang peniaga kedai runcit, Noraini Abdul Rahman, 52, bersyukur jualannya meningkat berkali ganda sejak kerajaan melakukan inisiatif memberi kredit Sara.
“Terima kasih kerana membantu peniaga kecil seperti kami meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya.
















