ALOR SETAR – Polis Kedah akan mengadakan lawatan ke asrama sekolah di negeri ini termasuk pada waktu malam sebagai usaha menangani isu buli dalam kalangan pelajar.
Ketua Polis negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lawatan itu akan dilakukan sama ada oleh pegawai polis yang berperanan sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ataupun oleh Ketua Polis Daerah sendiri.
“Setakat ini, tiada keperluan untuk mewujudkan skuad khas kerana kita sudah mempunyai PPS. Cuma apabila ada isu buli, kita perlu meneliti lokasi yang berpotensi menjadi tempat kejadian seperti di asrama.
“Kita berbincang perkara ini dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan sampai ke tahap kita melakukan lawatan ke asrama pada waktu malam. Ketua Polis Daerah atau mana-mana pegawai akan terlibat dalam usaha mencegah atau mengurangkan kejadian buli ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Town Hall Discussion Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini hari ini.
Menurut Adzli, lawatan ke sekolah termasuk asrama terpilih akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Lawatan itu tidak mempunyai jadual atau masa yang tetap. Kita akan tentukan masa yang sesuai, mungkin pada waktu malam atau hujung minggu iaitu ketika tiada persekolahan, kerana biasanya pada masa itu pelajar lebih aktif,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, kes buli membabitkan pelajar sekolah yang dilaporkan sehingga bulan lalu ialah sebanyak 30 kes, menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang hanya merekodkan 10 kes. – KOSMO! ONLINE














