ZAGREB – Croatia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Kumpulan L Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas membelasah Montenegro 4-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium Maksimir awal pagi tadi.
Kemenangan itu meletakkan Croatia berada dalam landasan tepat untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan apabila mendahului saingan peringkat kumpulan dengan 12 mata selain kurang satu perlawanan.
Ketua jurulatih skuad Vatreni, Zlatko Dalic berkata, layangan kad merah kepada pemain lawan membuatkan permainan lebih mudah, namun beliau tetap memberikan kredit buat barisan pemainnya.
“Memang benar kad merah kepada seorang pemain lawan membolehkan kami bermain lebih selesa tetapi tahniah juga buat pemain. Kami melaksanakan tugas dengan baik dan semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia.
“Kami gembira kerana Luka (Modric) masih bersama pasukan dan apa yang saya lihat, permainannya bertambah baik. Bagi saya, dia merupakan kunci utama yang menyatukan pasukan ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, Croatia menguasai sepenuhnya permainan dengan melakukan 32 percubaan selain menjaringkan gol menerusi Kristian Jakic, Andrej Kramaric, Ivan Perisic serta satu gol sendiri Edwin Kuc.
“Selepas ini, kami akan ke Prague untuk aksi menentang Czechia dengan sasaran mendapatkan kelayakan ke Piala Dunia. Bagi saya, itu perlawanan yang sangat penting bagi mengekalkan kedudukan pasukan,” ujar Dalic. – AGENSI














