AWAL bulan Jun lalu, saya berpeluang untuk menikmati percutian singkat ke Phnom Penh, ibu negara Kemboja yang penuh dengan sejarah dan keunikan budaya.
Walaupun hanya beberapa hari, jadual yang dirancang cukup padat dengan pelbagai pengalaman menarik, daripada melawat tapak bersejarah hinggalah menikmati hidangan halal tempatan yang sukar didapati di negara lain.
Perjalanan bermula pada 7 Jun lalu. Saya dan rakan-rakan bertolak dari rumah menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar tengah hari, penuh dengan debaran dan keterujaan.
Penerbangan Malaysia Airlines MH762 berlepas pada pukul 4.30 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh sekitar pukul 5.25 petang.
Perjalanan singkat selama sejam ini terasa pantas dan setibanya di sana, kami segera menuju ke penginapan yang dikenali sebagai The Bridge Club.
Proses daftar masuk agak unik kerana perlu dilakukan di alamat berasingan berhampiran Soho Bridge, tetapi segalanya berjalan lancar.
Selepas berehat seketika di hotel, kami mengambil Grab menuju ke restoran halal pertama dalam senarai iaitu Vimeansamoth Oyster.
Perjalanan hanya menelan kos sekitar RM21 sehala. Restoran ini menawarkan hidangan makanan laut segar dengan sentuhan cita rasa tempatan dan yang penting, halal.
Selesai menjamu selera, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan sekitar bandar Phnom Penh pada waktu malam.
Suasana malamnya agak meriah dengan cahaya lampu neon dan kesibukan warga kota, namun masih mengekalkan keunikan tersendiri berbanding bandar besar lain di Asia Tenggara.
Hari kedua, 8 Jun, bermula dengan sarapan di hotel sebelum kami menuju ke destinasi utama iaitu Tuol Sleng Genocide Museum.
Muzium ini dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk RM21. Perjalanan dengan Grab dari hotel hanya sekitar RM12 sehala.
Lawatan ke muzium ini cukup meninggalkan kesan mendalam kerana menyimpan sejarah hitam era Khmer Rouge.
Melihat bukti kekejaman yang berlaku suatu ketika dahulu membuatkan saya lebih menghargai keamanan yang dinikmati hari ini.
Dari situ, kami singgah sebentar di Independence Monument, sebuah mercu tanda ikonik yang melambangkan kebebasan Kemboja.
Seterusnya, kami melawat Wat Phnom, sebuah kuil bersejarah yang terletak di atas bukit kecil dan sering dikaitkan dengan asal usul bandar Phnom Penh.
Tidak jauh dari situ, kami turut singgah di Wat Ounalom Monastery, pusat agama Buddha yang penting di negara ini. Selepas berjalan agak jauh, kami berehat sambil menikmati makan tengah hari di Halal Dulang Cafe &
Restaurant yang hanya mengambil masa lima minit berjalan kaki dari Wat Ounalom. Hidangan di sini ringkas tetapi mengenyangkan, sesuai untuk pelancong Muslim.
Pada sebelah petang, kami sempat melawat Royal Palace Park, kawasan taman berhampiran Istana Diraja yang indah dengan landskap teratur.
Menelusuri taman ini memberi ketenangan selepas seharian menjelajah. Kami kembali ke hotel untuk berehat dan membersihkan diri sebelum keluar semula untuk makan malam.
Malam itu, kami memilih Indo Pak Halal Restaurant yang menawarkan pilihan makanan India dan Pakistan dengan rasa yang autentik.
Secara keseluruhannya, percutian singkat ke Phnom Penh ini benar-benar membuka mata saya tentang sejarah, budaya dan kepelbagaian bandar tersebut.
Walaupun hanya dua hari, pengalaman yang diperoleh cukup bermakna dari memahami sejarah kelam masa silam hingga menikmati hidangan halal yang lazat.
Phnom Penh sememangnya destinasi yang wajar diterokai, khususnya bagi mereka yang ingin mencari gabungan antara ilmu sejarah, keunikan budaya, dan keselesaan pelancongan mesra Muslim.














