fbpx
Orang ramai terutama golongan berkeluarga menikmati barbeku dalam sungai di BBQ Lamb Kemensah, Selangor baru-baru ini. - Foto Muhamad Iqbal Rosli

Makan BBQ enak dalam sungai dekat KL, kaki dalam air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI tengah-tengah kehijauan alam Kampung Kemensah, Selangor tersimpan sebuah destinasi kulinari unik yang bukan sahaja menyajikan hidangan lazat tetapi ‘menghiburkan’ halwa telinga dengan bunyi air sungai.

Buat orang ramai terutama warga kota yang ingin merasakan pengalaman gastronomi ala piknik dalam sungai, BBQ Lamb Kemensah yang terletak berdekatan Kuala Lumpur ini patut dijadikan pilihan.

Restoran tersebut menyediakan ruang makan luar biasa apabila pelanggan dapat menikmati hidangan sambil duduk di meja dan kerusi yang diletakkan terus di dalam sungai.

Memang sukar untuk menemukan destinasi makan seumpama ini di sekitar ibu kota yang membangun.

Keunikan itu menjadikan restoran tersebut lokasi popular para pencinta alam semula jadi untuk menikmati pilihan menu berasap yang autentik dan memikat selera.

Orang ramai dilihat menikmati makanan di atas kerusi sambil kaki terendam dalam air sungai yang segar.

Ia dibuka dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam setiap hari kecuali Isnin.

Mula beroperasi pada 7 Julai 2017, pemiliknya S. Ibariyanurmi Iberahim mengakui sebagai seorang yang gemar memasak dan gemarkan aktiviti denai kembara, dia menggabungkan kedua-dua elemen itu untuk dijadikan tarikan utama restoran.

Seorang kakitangan memeriksa keadaan daging yang diletakkan dalam smoke house.

Katanya cara ini bukan saja unik, tetapi dapat mengeratkan hubungan seisi keluarga sekali gus membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih mencintai keindahan alam semula jadi.

“Kebanyakan mereka yang datang terdiri daripada yang sudah berkeluarga, ibu bapa akan bersama dengan anak-anak mereka sambil bermandi manda dan dalam masa sama dihidangkan dengan makanan enak.

“Jadi mereka boleh menghabiskan masa bersama keluarga. Bukan sahaja dapat makan bersama tetapi dapat bergembira dan melakukan aktiviti riadah air.

“Secara peribadi aktiviti memasak dan denai kembara telah memberi idea untuk membuka restoran berkonsep sebegini di samping usaha mewujudkan kelainan berbanding kedai makan lain,” katanya ketika ditemui CitaRasa di restoran itu baru-baru ini.

Bukan sahaja dapat makan bersama tetapi dapat bergembira dan melakukan aktiviti riadah air.

Bagi pilihan menu smoke, pelanggan boleh memilih sama ada ingin gabungan potongan itik, ayam, kambing atau lembu dalam Mix Meat Set (4 orang) atau Mix Meat Couple (2 orang).

Pelbagai pilihan makanan laut turut dihidangkan antaranya Fish Set dan Fish Couple yang menawarkan gabungan ikan siakap bersama bawal emas dengan menu sampingan iaitu sup, sambal, minuman, buah-buahan dan coleslaw.

“Daging yang siap diperap akan diletakkan di dalam smokehouse yang dibakar dengan menggunakan kayu hutan sekitar empat jam sebelum dipindah ke bahagian arang (bakar) dan seterusnya diakhiri dengan torch burner.

“Makanan laut seperti udang galah dan sotong akan dibakar menggunakan arang atau menggorengnya mengikut selesa pelanggan.

“Kami juga hidangkan pelbagai hidangan ikan lain seperti ikan salmon dan ikan dory,” katanya.

Pelanggan boleh memesan makanan secara terus hadir (walk in) atau membuat tempahan terlebih dahulu.

“Pelanggan yang membuat tempahan boleh membuat pilihan menu smoke sama ada seperti set dalam senarai menu atau mengikut selera mereka inginkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN