JIKA menyebut tentang jenama automotif Jerman, Mercedes-Benz, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah kemewahan, prestij dan keselesaan.
Begitu juga dengan generasi baharu Mercedes-Benz E200 Avantgarde (W214) yang bukan sekadar sebuah sedan eksekutif biasa, tetapi turut hadir dengan sentuhan teknologi pintar dan pengalaman pemanduan mengujakan.
Direka untuk pemanduan canggih, sedan mewah itu dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan setiap interaksi intuitif dan lancar serta berkebolehan membuat ketersambungan 5G serta perstriman video.
Golongan profesional boleh berhubung dengan sesiapa sahaja secara mobile menerusi kamera penstriman yang disediakan dalam kenderaan ini.
Sekilas pandang, wajah baharu E-Class ini seakan-akan ‘adik kepada S-Class’ dengan lampu hadapan LED tirus dan moden menggantikan bentuk trapezoid bagi model sebelum ini.
Rekaan gril baharu yang lebih besar dengan elemen krom serta logo bintang tiga memberi aura elegan yang cukup menawan.
Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED berbentuk unik, menjadikan sedan ini tampak lebih moden dan bergaya.

Ia diperkemaskan dengan rim aloi 18 inci dengan pakej Avantgarde menambahkan lagi gaya sporty tanpa mengorbankan karakter mewah yang sinonim dengan jenama bintang tiga bucu ini.
Rekaan luar E200 generasi baharu ini lebih panjang dan elegan berbanding model lama yang lebih konservatif.
Sedan panjang ini membawa imej eksekutif moden yang bukan sahaja gah di pejabat, tetapi nampak eksklusif di jalan raya.
Dari segi dimensi, model tersebut berukuran 4,949 milimeter (mm) panjang, 1,880mm lebar, 1,468mm tinggi dan jarak antara roda 2,961mm iaitu lebih besar daripada generasi sebelum ini.
Beralih kepada trenkuasa, E200 Avantgarde dipasang dengan sistem ‘mild hybrid.’
E200 menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang mampu menjana kuasa maksimum 204hp dan tork 320Nm.
Lebih menarik, sistem ‘mild hybrid’ melalui Integrated Starter Generator (ISG) memberikan tambahan kuasa pecutan permulaan 17 kilowatt (kW) dan 205Nm.
Hasilnya, sedan hampir lima meter panjang ini mampu memecut dari pegun hingga 100km/j dalam masa 7.5 saat, cukup pantas untuk kereta yang berfokuskan keselesaan.
Kotak gear transmisi 9 kelajuan 9G-Tronic pula menukar gear dengan lancar, menjadikan perjalanan dari jalan bandar ke lebuh raya terasa cukup lancar.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh Mercedes-Benz Malaysia untuk memandu uji model E200 ini yang biasanya diminati oleh golongan lelaki profesional.
Memandu E200 di sekitar bandar raya Kuala Lumpur memberikan pengalaman yang santai dan penuh keyakinan.
Suspensi yang ditala khusus untuk keselesaan menyerap hentakan jalan dengan baik, manakala sistem bantuan pemanduan seperti Active Steering Assist dan Adaptive Cruise Control membuatkan perjalanan jauh lebih mudah.
Di lebuh raya, E200 terasa stabil walaupun pedal minyak ditekan melebihi 180 km/j.

Kabin kekal senyap hanya bunyi angin halus kedengaran membuktikan kerja kejuruteraan Jerman benar-benar mengutamakan keselesaan.
Bagaimanapun, penulis secara peribadi merasakan saiz sedan eksekutif ini agak panjang, sedikit sukar untuk memasuki kawasan parkir sempit, tetapi kegusaran itu dibantu dengan kamera 360 darjah dalam jentera ini cumanya perlu lebih berhati-hati.
Salah satu ciri baharu yang menarik perhatian ialah kunci digital dalam E200, hanya dengan menggunakan iPhone atau Apple Watch.
Pemilik kereta boleh membuka kenderaan, menghidupkan dan malah berkongsi akses kenderaan kepada ahli keluarga atau rakan.
Dalam dunia tanpa sempadan, ‘gamers’ juga boleh bermain permainan interaktif seperti ‘Angry Birds’ dan melayari media sosial TikTok dalam sedan mewah ini selain melakukan penstriman melalui Webex.
Meninjau ke ruangan kabin, E200 menampilkan pencahayaan ambien yang membaluti bahagian hadapan panel instrumen, mengalir lancar ke dalam pintu untuk mencipta suasana yang luas dan menarik.
Sedan eksekutif ini dilengkapi sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) Premium dengan instrumen digital 12.3 inci di depan pemandu dan sistem infotainment di tengah 14.4 inci.
Untuk keselesaan pemanduan, tempat duduk E200 menampilkan kerusi balutan kulit buatan Artico yang menawarkan keselesaan optimum dengan fungsi larasan penuh.
Dengan harga bermula RM355,888, Mercedes-Benz E200 Avantgarde ini mungkin bukan kereta mampu milik untuk semua orang.
Namun, bagi mereka yang mahukan sedan mewah dengan teknologi terkini, keselesaan dan status premium, ia sebuah pelaburan yang berbaloi.
Kesimpulannya, E200 generasi baharu ini benar-benar mengangkat semula reputasi E-Class dalam segmen sedan eksekutif mewah dengan penawaran pakej lengkap.














