BANGKOK – Perdana Menteri Thailand seterusnya, Anutin Charnvirakul berikrar untuk menunaikan janji memimpin kerajaan sementara yang berpecah-belah ke arah pilihan raya baharu.
Anutin disahkan oleh Parlimen sebagai Perdana Menteri Thailand semalam sekali gus menamatkan kekosongan kuasa seminggu berikutan penyingkiran pendahulunya, Paetongtarn Shinawatra.
Hartawan pembinaan itu membentuk gabungan blok pembangkang untuk menyingkirkan calon parti pemerintah, Pheu Thai.
Anutin mendapat sokongan Parti Rakyat yang memegang majoriti kerusi, dengan syarat beliau membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan untuk mengadakan pilihan raya baharu.
“Saya akan mematuhi semua perjanjian.
“Kita mesti mengembalikan semangat Land of Smiles kepada negara kita dalam tempoh singkat saya memegang jawatan ini,” kata Anutin di luar ibu pejabat partinya semalam sambil menambah, beliau dikenali kerana membenci konflik.
Anutin turut menyentuh mengenai penerbangan mengejut Thaksin menuju Dubai semalam di mana beliau berkata, akan melawat rakan-rakan dan mendapatkan rawatan perubatan.
“Tidak akan ada pilih kasih, tiada penganiayaan, dan tiada dendam(terhadap Thaksin),” kata Anutin mengenai isu tersebut.
Mahkamah Agung dijadualkan membuat keputusan Selasa ini dalam kes mengenai kemasukan Thaksin ke hospital berikutan kepulangannya dari buangan pada Ogos 2023, keputusan yang menurut beberapa penganalisis boleh menyebabkan beliau dipenjarakan.
Parti Bhumjaithai pimpinan Anutin membentuk gabungan dengan Pheu Thai pada 2023, tetapi menarik diri pada Jun lepas susulan dakwaan salah laku Paetongtarn dalam panggilan telefon yang bocor dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Anutin sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri kesihatan. Beliau paling terkenal kerana menunaikan janji untuk menghalalkan ganja di Thailand pada 2022.
Pemilihan beliau ke jawatan perdana menteri masih perlu disahkan oleh Raja Thailand untuk menjadi rasmi. – AFP