fbpx
Nur Syazwanis (kiri) menunjukkan keputusan SPM dengan ditemani ibunya, Siti Aiza Marlina ketika ditemui di rumah mereka di Kampong Gong Tinggi, Pasir Puteh semalam.

‘7A ini hadiah buat arwah bapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Pesanan arwah bapa agar belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mampu menampung pengajian anak-anak akibat kanser limfoma menjadi pembakar semangat Nur Syazwanis
Mohd. Zuraimi, 18, meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan kelmarin.

Syazwanis yang meraih 7A 2B memberitahu, bapanya, Allahyarham Mohd. Zuraimi Mohd. Hussin sering menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh walaupun lelaki itu dalam keadaan terlantar akibat kanser limfoma.

Mohd. Zuraimi yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia pada 3 Mac lalu di Hospital Tengku Anis di sini.

Berkongsi kisah kejayaannya, Syazwanis berkata, pesanan bapanya itu sentiasa diingati sehingga mendorongnya belajar bersungguh-sungguh biarpun berdepan pelbagai kekangan dan kemiskinan demi menghadiahkan kejayaan buat arwah bapa.

“Saya selalu bangun seawal pukul 3 pagi untuk belajar walaupun ketika itu ayah sedang sakit. Arwah selalu pesan supaya belajar elok-elok kerana dia tidak mampu lagi menampung pelajaran saya.

“Tidak sangka saya dapat A dalam matematik kerana semasa peperiksaan percubaan saya tidak mendapat markah tersebut,” katanya di sini semalam.

Syazwanis memberitahu, keputusan bagi subjek Sains juga meningkat apabila memperoleh A walaupun hanya mendapat C dalam peperiksaan percubaan sebelum ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia sering mengikuti kelas tambahan di sekolah selain menyalin nota rakan dan bahan pembelajaran lain kerana tidak mampu membeli buku rujukan.

Katanya, baucar buku yang diterima juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli buku nota bagi tujuan ulang kaji.

“Kadang-kadang cikgu membantu membeli baju kokurikulum dan keperluan belajar kerana memahami keadaan keluarga saya.

“Ibu pula menghantar dan mengambil saya di sekolah dengan motosikal setiap hari walaupun ketika itu ayah kerap keluar masuk hospital,” ujarnya.

Menurut Syazwanis, ibunya, Siti Aiza Marlina Muhmad, 38, terpaksa berhenti kerja sebagai tukang sapu bagi menjaga ba­panya sepenuh masa.

“Kami hanya bergantung kepada bantuan kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan dan sedikit bantuan daripada Yayasan Raja Shamri untuk yuran sekolah.

“Kadang-kadang saya simpan duit belanja RM5 sehari untuk membeli nota atau bahan pem­belajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Syazwanis bercadang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana bercita-cita menjadi guru Bahasa Melayu atau Pendidikan Seni.

“Saya mahu berjaya dan mengubah nasib keluarga seperti yang arwah ayah harapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN