LOKASI ini bukan sekadar menawarkan ruang untuk bermalam, malah pengalaman indah melihat matahari terbenam dari dalam khemah, lengkap dengan hembusan angin laut menyegarkan.
Dalam dunia memancing hari ini, istilah healing tidak lagi sekadar trend, tetapi satu keperluan.
Kesibukan dalam aktiviti harian membuatkan kita mencari masa senggang untuk lari seketika dari hiruk-pikuk kota.
Bagi kaki pancing merangkap camper, healing yang sebenar selalunya hadir dengan bunyi ombak, bau air laut dan hujung joran bergetar menandakan ada ikan sedang menggetu umpan.
MK Rimba Camp Park menawarkan semuanya, ia merupakan satu destinasi yang menggabungkan elemen perkhemahan santai dengan kawasan memancing berpotensi.
Apa yang menjadikan lokasi ini begitu istimewa adalah kedudukannya menghadap laut terbuka dengan latar belakang Pulau Pisang kelihatan dari kejauhan.
Ia bukan sekadar pemandangan biasa tetapi petanda bahawa kawasan ini memiliki struktur semula jadi yang menyokong kehadiran pelbagai spesies ikan di kawasan pesisir pantai.

Sambil memacak khemah, tidak perlu menunggu lama untuk memulakan sesi ‘hanyir’. Kawasan tambak berbatu di hadapan campsite membolehkan anda terus melabuhkan umpan.
Tambahan pula, kehadiran zon paya bakau berhampiran menjadikan ekosistem di Rimba Terjun cukup kaya dengan flora dan fauna yang unik bagi kawasan estuari.
Bagi pemancing dasar, spesies ikan seperti bebulus, ketuka, gerut-gerut, sembilang dan gelama sering menjadi penghibur setia.
Manakala siakap dan tetanda pula sesekali muncul memberi kejutan, terutama ketika air mula pasang serta arus bergerak cantik.
Masa terbaik untuk memancing sudah semestinya ketika air pasang dan umpan popular digunakan adalah perumpun, udang serta hirisan ikan.
Ketika air surut, aktiviti lain pula menyusul seperti mencari kerang dan lokan terutamanya di kawasan paya bakau.
Fasiliti
Namun, kelebihan MK Rimba Camp Park tidak terletak pada lubuknya.
Dalam banyak-banyak lokasi perkhemahan yang pernah saya kunjungi, tidak semuanya berjaya menyeimbangkan elemen back to nature dengan keselesaan asas. Di sini, ia disediakan dengan baik.
Tapak perkhemahan disusun kemas dengan ruang yang luas, sesuai untuk keluarga kecil atau kumpulan pemancing yang datang berkonvoi.
Setiap tapak dilengkapi dengan punca kuasa elektrik, satu kemudahan yang mungkin dianggap remeh tetapi sangat penting pada hari ini.
Bagi mereka yang tidak mahu bersusah payah membawa kelengkapan sendiri, terdapat pondok A-Tent yang unik dan bersih.

Rekaan segi tiganya memberi sedikit sentuhan estetik, sesuai untuk mereka yang mahukan pengalaman camping tetapi tidak terlalu hardcore.
Pada masa sama, fasiliti seperti tandas dan bilik mandi juga dijaga rapi serta lengkap dengan pemanas air.
Tidak dilupakan, kolam mini yang disediakan terutamanya untuk anak-anak kecil menjadikan lokasi ini mesra keluarga.
Sementara si ayah memancing, anak-anak pula boleh bermain air dengan selamat.
Suasana sebegini sebenarnya yang menghidupkan kembali nilai kebersamaan dalam hobi memancing.
Ia bukan lagi aktiviti solo tetapi satu pengalaman kolektif bersama keluarga.
Sunset
Seperti kebiasaan, mana-mana trip memancing atau berkhemah, ada satu momen yang sering dinantikan-nantikan iaitu saat matahari mula melabuhkan tirainya.
Di sini, lewat senja merupakan saat yang amat istimewa. Langit perlahan-lahan bertukar daripada biru kepada jingga, kemudian merah keemasan.
Siluet bot nelayan yang melintasi horizon, dengan Pulau Pisang sebagai latar belakang, mencipta satu komposisi visual yang cukup puitis.
Bagi yang gemar merakam momen, waktu sunset ini adalah golden hour sebenar.
Jika anda merancang untuk berkunjung ke situ, satu perkara yang perlu dilakukan adalah tempahan awal.
Demi menjaga suasana tenang dan tidak terlalu sesak, tempat ini dihadkan supaya tidak terlalu padat, terutama pada hujung minggu serta musim cuti.
Secara keseluruhannya, MK Rimba Camp Park bukanlah sekadar sebuah tapak perkhemahan.
Ia adalah titik temu antara alam, hobi dan gaya hidup moden yang semakin mendambakan ketenangan.
Bagi pemancing, ia menawarkan lebih daripada sekadar peluang untuk menaikkan ikan.
Jadi, siapkan khemah dan pancing anda. Pontian sentiasa menanti, sedia menyajikan pengalaman indah buat anda.














