JOHOR BAHRU – Spesies mamalia marin herbivor dugong atau lebih dikenali sebagai lembu laut kini berada pada tahap kritikal apabila jumlahnya dianggarkan hanya sekitar 60 ekor yang masih bertahan hidup di perairan negara khususnya di Johor.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, ancaman utama terhadap kelangsungan hidup dugong adalah aktiviti manusia seperti pelanggaran dengan bot, terperangkap dalam pukat serta kemerosotan habitat semula jadi.
“Penampakan pertama dugong di perairan Johor direkodkan pada tahun 1924, selepas itu tiada rekod susulan sehingga laporan pemburuan oleh masyarakat Orang Asli Kampung Pendas, Gelang Patah.
“Rekod rasmi kedamparan dugong hanya bermula pada awal 1990-an.
“Populariti spesies ini meningkat apabila seekor anak dugong yang dinamakan Tenang terperangkap dalam jaring udang pada 25 Februari 1999 dan kemudiannya dirawat oleh nelayan tempatan,” katanya kepada Kosmo!
Menurut beliau, peristiwa ini menarik minat penyelidik dan mendorong tinjauan udara untuk mengenal pasti kehadiran dugong di perairan Johor.
Tambahnya, kajian pada tahun 1999 menganggarkan terdapat sekitar 60 ekor dugong di kawasan perairan Johor, terutamanya di sekitar pulau-pulau Taman Laut.
“Johor dikenal pasti sebagai negeri yang mempunyai populasi dugong terbesar diikuti oleh Sabah dan Sarawak.
“Sehingga tahun 2025, sebanyak 25 insiden kedamparan dugong telah direkodkan di sepanjang perairan negara berdasarkan sumber dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penyelidikan dan pemuliharaan marin, MareCet Malaysia,” katanya.
Adnan berkata, sekiranya tiada usaha pemuliharaan habitat dugong, mamalia ini bakal lenyap dalam peta marin Malaysia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Pensyarah Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Antarabangsa Singapura, Dr. Serina Abdul Rahman berkata, antara aktiviti manusia yang menyebabkan kemusnahan habitat dugong ialah penambakan laut dan mengorek (dredging) di kawasan berhampiran ataupun di padang rumput laut.
Beliau yang juga pengasas Kelab Alami berkata, pembangunan persisiran pantai yang tidak terkawal boleh mengakibatkan degradasi atau kemusnahan kawasan rumput laut.
“Dugong lazimnya ditemui di perairan cetek yang kaya dengan rumput laut, sumber makanan utamanya. Spesies kegemaran seperti Halophilaspp. dan Halodulespp. mudah dicerna kerana kandungan serat yang rendah dan nitrogen yang tinggi.
“Seekor dugong dewasa boleh memakan antara 28 hingga 40 kilogram rumput laut sehari.
“Habitat ini bukan sahaja penting untuk dugong, tetapi juga menyokong biodiversiti marin lain seperti kuda laut, gamat dan spesies ikan juvenil.
“Malangnya, kawasan rumput laut semakin terancam akibat pembangunan pesisir, penambakan tanah, pencemaran, dan aktiviti pukat tunda,” katanya.
Selain itu katanya, pemanasan global turut menyebabkan suhu air laut menjadi panas sekali gus memberi kesan terhadap pembiakan rumput laut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penduduk setempat tidak menolak pembangunan di pesisiran pantai, namun pembangunan tersebut perlulah seimbang.














