fbpx
SUASANA protes di Indonesia yang menjejaskan ekonomi dan pendapatan sebahagian rakyatmya mendorong simpati masyarakat serumpun untuk sama-sama menyumbang waima sebungkus makanan.

Makna di sebalik sebungkus makanan buat Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hubungan Malaysia dan Indonesia sejak dahulu tidak pernah sepi daripada warna-warni. Seperti love hate relationship yang unik, dua jiran serumpun itu juga kerap bergelora dengan isu asal usul budaya, makanan dan sejarah.

Rakyat dua negara itu boleh berlawan debat tentang rendang, batik, kebaya atau lagu rakyat, namun esoknya masih bersapa mesra atas persaudaraan Nusantara yang terlalu dalam untuk diurai.

Namun satu hal yang sentiasa jelas, apabila muncul bencana, kesusahan atau pergolakan, kedekatan dan persaudaraan itu segera ketara. Dari tragedi alam hingga isu kemanusiaan, rakyat di kedua-dua negara kerap tampil menghulur bantuan. Meski kadang terselubung gurauan sinikal, persaudaraan tetap wujud dan membara.

Fenomena terbaharu yang menjadi tular dalam media sosial memperlihatkan sisi murni dengan cara sederhana. Segelintir warga Malaysia mengambil inisiatif membeli makanan secara dalam talian untuk dihantar kepada para pengendali khidmat penghantaran atau rider di Indonesia.

Ada yang memesan nasi bungkus, ada yang membayar minuman dan ada pula yang sekadar mengirimkan kudapan ringkas. Nilainya mungkin tidak besar, tetapi kesannya mendalam. Bayangkan seorang rider yang bekerja dalam panas terik atau hujan deras, tiba-tiba menerima makanan percuma yang dibayar orang asing dari seberang laut, tentu menjadi penghapus lelah dan pembangkit semangat. Sebak.

Di sebalik kebaikan, terwujud juga nada sinikal. Di sebalik pujian, muncul juga komen-komen sarkastik yang menjenakakan kebaikan rakyat Malaysia.

Ada yang berjenaka: ‘Hari ini belanja rider makan, esok jangan pula claim nasi Padang tu asal Malaysia.” Ada netizen Indonesia menulis, “ambillah sekali DPR itu jadi milik Malaysia, inilah masanya.”

Komen-komen sebegitu, walaupun kedengaran pedas, mencerminkan dinamika khas hubungan Malaysia-Indonesia. Rapatnya hubungan membuatkan sindiran menjadi sebahagian daripada interaksi, lebih kepada ejekan mesra yang berakar daripada isu lama, siapa pemilik sah batik, rendang, wayang kulit atau lagu rakyat.

Hakikatnya, walau dibaluti gurauan dan sinis, kebaikan yang dilakukan tetap nyata. Sindiran media sosial hanyalah riak kecil, inti sebenarnya ialah nilai kasih sesama manusia yang tidak mampu dipadamkan oleh kata-kata.

Hubungan Malaysia–Indonesia akan sentiasa penuh warna, ada cinta, gurau sinis, ada persaingan budaya yang tidak pernah padam. Namun di sebalik itu semua, tetap wujud denyut persaudaraan yang tidak boleh dinafikan.

Beri makanan adalah bukti kecil tetapi kuat, bukan sekadar transaksi digital, tetapi cerminan jiwa besar rahmat tanpa sempadan, amalan yang dituntut dalam setiap agama dan kasih sayang kemanusiaan mengatasi jarak.

Seperti sepinggan nasi yang merentasi Selat Melaka, kalaulah modus operandi sama boleh disampaikan kepada mangsa pelarian dan perang di Gaza, tidak perlulah menggantung nyawa semata-mata hendak menghantar sumbangan. Ini dunia yang sedang kita hadapi, adakala segalanya dimudahkan, ada ketika semuanya dipersulitkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN