PETALING JAYA – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang selepas mandi-manda di kawasan Sungai Kedondong, Batang Kali, Hulu Selangor sejak lebih seminggu lalu sepatutnya bertunang pada 30 Ogos lalu.
Kakaknya, Anis Aqilah Mohd. Ariffin, 30, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, mereka sekeluarga telah berbincang mengenai persiapan majlis pertunangan adiknya, Muhammad Ammar Mohd. Ariffin, 27.
“Saya sendiri yang uruskan dulang hantaran, rombongan kami sepatutnya ke rumah pihak perempuan di Sungai Besar, Selangor pada 30 Ogos lalu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, ketika kejadian pada 23 Ogos lalu, adiknya memandu sendiri kenderaan ke tempat berkelah dan selepas selesai mandi-manda, dia dan rakan-rakannya yang juga anggota TUDM kemudian berpisah.
“Selepas itu masing-masing tidak tahu ke mana arah Muhammad Ammar pergi,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini telefon bimbit adiknya gagal dihubungi dan keluarga belum menerima sebarang maklumat baharu mengenai keberadaan Muhammad Ammar.
“Saya akan ke balai polis untuk menyerahkan beberapa maklumat tambahan seperti nombor akaun bank adik bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan orang hilang membabitkan Muhammad Ammar.
Laporan polis dibuat anggota TUDM dari Institut Latihan Pengurusan Material, Bandar Kinrara pada pukul 4.16 petang, 25 Ogos lalu selepas mangsa gagal melapor diri semula untuk Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan.














