fbpx
Satelit kayu buatan Jepun yang dilancarkan pada tahun lalu dilaporkan baru-baru ini telah 'survive' di angkasa selama 116 hari dan kini Jepun sedang mengusahakan penghasilan versi yang lebih baik.

Satelit kayu pertama dunia ‘survive’ di angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAHAN seperti aluminium, titanium dan komposit gentian karbon merupakan antara bahan yang diperlukan untuk membangunkan satelit kerana memiliki sifat tahan lasak serta ringan.

Mungkin agak mustahil untuk mewujudkan satelit angkasa dengan menggunakan bahan lain seperti kayu kerana tidak tahan lama dan mudah reput.

Bagaimanapun, tanggapan itu berjaya ditepis apabila Universiti Kyoto di Jepun dengan kerjasama syarikat pembalakan Sumitomo Forestry telah membangunkan satelit kayu pertama di dunia.

Dibina menggunakan teknik pertukangan tradisional Jepun, satelit yang diberi nama LignoSat itu telah diterbangkan ke angkasa menerusi misi SpaceX pada tahun lalu oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).

LignoSat dilaporkan baru-baru ini bahawa ia telah ‘survive’ selama 116 hari di orbit.

Kini, ia sedang mengelilingi Bumi sama seperti satelit lain di angkasa.

Memetik laporan agensi tempatan, The Japan News, LignoSat dilancarkan untuk menguji potensi penggunaan kayu dalam teknologi angkasa.

Diperbuat daripada kayu magnolia, LignoSat menjadi langkah pertama Jepun menguji ketahanan bahan satelit mesra alam yang mampu menghantar data untuk menyokong penyelidikan angkasa pada masa depan.

Sementara itu, syarikat pertukangan kayu di Otsu, Kuroda Kobo menjadi pihak bertanggungjawab yang membantu membangunkan satelit kayu berkenaan.

Presiden Kuroda Kobo, Hiroaki Usui berkata, satelit kayu sebesar saiz tapak tangan orang dewasa itu memiliki berat sekitar satu kilogram.

“Syarikat kami dibawa masuk sebagai sebahagian daripada pasukan pembangunan sekitar tahun 2019 di Universiti Kyoto.

“Kami memutuskan untuk menyahut cabaran membantu membina satelit kayu pertama di dunia.

“Kayu magnolia dipilih kerana kami menyasarkan untuk mengurangkan bilangan zarah logam apabila satelit terbakar setelah masuk ke atmosfera.

“Kayu magnolia digunakan kerana ia merupakan bahan sama membuat sarung pedang Jepun.

“Memandangkan blok kayu ini ringan, maka ia sesuai digunakan untuk membina LignoSat,” katanya.

USUI terlibat secara langsung dalam pembuatan kayu untuk satelit LignoSat.

Keputusan menggunakan kayu magnolia dibuat selepas penyelidik berpuas hati dengan hasil ujian yang menunjukkan kurangnya tanda-tanda kemerosotan selepas terdedah kepada sinar kosmik.

“Pasukan memerlukan kayu yang sangat tahan lasak kerana satelit akan terdedah kepada ruang vakum, sekali gus menghilangkan kadar kelembapan dalam kayu.

“Ia juga perlu menahan perubahan suhu yang melampau antara 120 darjah Celsius dan -150 darjah Celsius. Hal ini kerana satelit ini perlu mengelilingi Bumi.

“Perubahan ini akan menyebabkan kayu mengembang dan mengecut serta mengalami kerosakan,” ujarnya.

Disebabkan itu, teknik pembuatan kayu tradisional yang dipanggil ‘tomegata kakushi arigumi’ telah digunakan untuk membuatnya.

Kata Usui, teknik berkenaan memerlukan bahagian sisi dipotong dengan tepat bagi membolehkan kepingan kayu dipadankan dengan rapat tanpa menggunakan paku atau pelekat.

“Ketebalan kayu ditentukan berdasarkan pelbagai faktor termasuk berat yang boleh dibawa oleh roket dengan selamat.

“Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengekalkan bentuk LignoSat dan meluluskan penggunaan kayu magnolia.

“Kami mengambil masa sekitar sebulan untuk menyiapkannya, sebelum dilancarkan melalui roket SpaceX Falcon 9 pada Jun tahun lalu,” ujarnya.

Satelit berbentuk kubus bersaiz 10x10x10 sentimeter itu secara tidak langsung menjadi kebanggaan Universiti Kyoto terutamanya kepada penyelidik, Takao Doi.

Dia yang terlibat dalam pembinaan LignoSat mengakui, satelit mini itu agak murah dan mudah dibina.

Malah, Doi yang juga bekas angkasawan Jepun turut menyimpan hasrat untuk menanam pokok di bulan dan Marikh.

“Jika kita boleh menggunakan kayu di angkasa lepas, besar kemungkinan kita boleh mempunyai pembangunan ruang yang mampan di sana.

“Kami menyasarkan untuk membina habitat manusia menggunakan kayu di angkasa, sama ada di bulan atau Marikh pada masa hadapan.

“Kayu mampu bertahan lebih lama di angkasa berbanding di Bumi kerana tiada oksigen atau air yang boleh menyebabkan reput dan terbakar,” ujarnya.

Doi turut melihat penggunaan kayu untuk pembinaan satelit sangat efisien dan langkah efektif bagi membantu menangani masalah sampah angkasa yang semakin meningkat.

Apabila dinyahaktifkan, satelit kayu mungkin lebih mudah terbakar di atmosfera berbanding satelit logam konvensional.

“Satelit logam mungkin diharamkan pada masa depan jika kami dapat membuktikan satelit kayu berfungsi dengan baik.

“Saya sedar bahawa masih terlalu awal untuk kita menilai semua ini. Namun, saya percaya tidak mungkin suatu hari nanti penggunaan satelit kayu dilihat sebagai sesuatu yang mustahil,” katanya.

Melihat kepada kejayaan LignoSat berlepas ke angkasa, Doi bersama kumpulan penyelidik berhasrat untuk membangunkan LignoSat-2 yang dijangka dilancarkan pada tahun 2028.

Usaha menggunakan satelit kayu turut mendapat perhatian pencinta aeroangkasa Jerman.

Menurut pelajar ijazah kedoktoran kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Teknikal Dresden, Jerman, Raphaela Gunther, usaha membangunkan LignoSat merupakan satu kejayaan yang perlu dibanggakan.

“Ini memang satu kejayaan kecil dalam penyelidikan bahan angkasa yang boleh diperbaharui.

“Saya mengharapkan agar lebih banyak lagi kajian dan pembangunan baharu melibatkan aeroangkasa pada masa hadapan. Dahulu, pesawat juga diperbuat daripada kayu,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN