BILA bercakap tentang selebriti, ramai yang membayangkan gaya hidup penuh glamor dengan gajet terkini di tangan.
Namun bagi pelakon dan personaliti, Ben Amir, hubungannya dengan teknologi jauh lebih sederhana dan berimbang.
Dari zaman sekolah hingga kini, setiap gajet yang pernah dimiliki mempunyai kisah tersendiri yang membentuk siapa dirinya hari ini.
Menurutnya, kenangan awal dengan teknologi bermula dengan Nokia 3310 yang menjadi peneman setia sewaktu zaman persekolahan.
Bagi kebanyakan orang, Nokia 3310 sinonim dengan permainan ‘snake’ dan bateri tahan lama. Namun, bagi Ben pula ia adalah titik mula perkenalan dengan dunia gajet yang akhirnya berkembang bersama dirinya.
“Selain telefon, dunia teknologi saya juga dipenuhi dengan konsol permainan. Dari PlayStation 1 hingga PlayStation 5 dan Xbox, semuanya pernah menjadi sebahagian daripada rutin dan hobi.
“Sampai sekarang saya masih ada bermain permainan video, namun ia tidak sekerap dulu dan masa saya kini lebih banyak digunakan untuk kerja dan minat baharu yang semakin mendalam iaitu fotografi,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno semasa majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media filem Legasi Bomba The Movie di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Tambahnya yang membawakan watak Muhammad Ali dalam siri One Million Dollar Voice itu, menerusi fotografi dia tertarik dengan kamera. Fujifilm yang benar-benar dekat di hati dan sering dibawa olehnya ke mana-mana.
Katanya lagi, jiwa Fujifilm itu sama dengan jiwanya dalam fotografi dan baginya, kamera Fujifilm bukan sekadar alat merakam gambar tetapi sebuah medium ekspresi yang menepati gaya dan rasa estetikanya.
Walaupun telefon pintar hari ini hadir dengan kamera yang canggih, Ben percaya hasil dari kamera sebenar tetap lebih memuaskan.
Kerana minat tersebut, tidak hairanlah jika gajet idamannya kini bukan telefon pintar atau konsol baharu tetapi sebuah lensa mikro bersaiz besar yang mampu merakam gambar jarak jauh dengan lebih jelas.
“Minat saya terhadap fotografi semakin berkembang dan lensa idaman itu seolah-olah simbol keinginan untuk meneroka sisi kreatif dengan lebih mendalam.
“Merakam gambar dengan kamera lebih puas hati, tambahan pula dengan lensa yang bagus saya boleh hasilkan lebih banyak imej yang menarik,” ujarnya.
Dalam soal penggunaan telefon pintar, Ben lebih bersifat praktikal, dia memiliki dua telefon jenis Android dan iOS.
Namun, keduanya bukan untuk gaya tetapi kerana mahu memisahkan urusan kerja dan peribadi.
Berbeza dengan ramai selebriti yang gemar berkongsi setiap detik kehidupan di media sosial, Ben mengambil pendekatan berbeza.
Kongsinya, dia menggunakan media sosial atas urusan pekerjaan dan jika memuat naik kandungan juga sekadar memberikan perkembangan terkini dalam kerjayanya.
“Saya jarang nak ‘upload’. Ada yang saya kemas kini mungkin seminggu sekali, sekadar ada dan orang tahu apa perkembangan karier atau kerja saya.
“Pada saya, media sosial hanyalah ruang untuk bekerja, bukan untuk mempamerkan kehidupan peribadi,” kongsinya.
Baginya, menjadi selebriti dalam era teknologi ada pro dan kontra. Media sosial memang membantu dalam kerjaya, namun dia tetap cuba mengekalkan keseimbangan.
Ujar Ben, gajet bukan sekadar simbol status tetapi alat untuk bekerja, berkarya dan berhubung.















