SEGAMAT – Gegaran keenam yang dirasai di beberapa kawasan di daerah ini pada pukul 7.29 pagi semalam menyebabkan lima bangunan kerajaan mengalami keretakan kecil selain menyebabkan lantai bergerak, siling bergoyang dan tanah merekah.
Gempa bumi itu berpusat di koordinat 5° Utara dan 102.8° Timur dengan magnitud 2.7 dirasai pada jarak dua kilometer (km) Barat Laut dari Segamat dengan kedalaman 10km. Kejadian terbaharu itu merupakan gegaran susulan yang berlanjutan sejak 24 Ogos lalu.
Sebelum ini, gegaran direkodkan pada pukul 6.13 pagi, Ahad (4.1 magnitud), 8.59 pagi, Rabu (3.2), 7.56 malam, Khamis (2.5) dan 4.24 pagi Jumaat (3.4).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bangunan yang terjejas ialah Kolej Komuniti Segamat 1 dan 2, Kuarters Polis Gemereh dan Hospital Segamat, masing-masing mengalami keretakan kecil pada dinding.
“Pejabat Kadi daerah Segamat dilaporkan terdapat sedikit siling yang jatuh.
“Walaupun kerosakan kesemua premis tidak serius, Jabatan Kerja Raya akan terus memantau keadaan. Anggota sudah ditempatkan bagi memastikan aspek keselamatan awam diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui pada program mengedarkan Jalur Gemilang di Pekan Kayu Ara Pasong di Pontian semalam.
Sementara itu, sebahagian penduduk mula bimbang dan risau hendak tidur malam lebih-lebih lagi selepas kejadian terbaharu yang berlaku itu.
Pemberita sambilan Kosmo!, Farahwahida Ahmad, 38, berkata, dia turut merasai gegaran dalam tempoh dua saat ketika berada di rumah di Kampung Lubok Batu di sini.
Katanya, dia nampak lantai rumah seperti bergerak dan siling bergoyang.
“Bunyinya seperti kenderaan berat lalu di depan rumah tetapi tiada satu pun kenderaan lalu ketika itu.
“Ahli keluarga juga rasakan yang sama. Kami kini risau dan berjaga-jaga, malam tak dapat tidur sejak kejadian pertama lagi,” katanya.
Norshita Shamsudin, 44, pula berkata, ketika mendengar bunyi dentuman kuat disusuli dengan gegaran ketika sedang menyediakan sarapan di rumahnya di Taman Yayasan.
“Saya terus tanya rakan di kumpulan WhatsApp. Kami semua risau dan berjaga-jaga sejak kejadian pertama lagi.
“Harap pihak berkuasa dapat beri kenyataan sampai bila keadaan ini akan berlaku kerana kami bimbang akan keselamatan anak-anak terutama sekali ketika di sekolah,” katanya.
Midah Mokhtar, 74, berkata, dia terus melaungkan azan, berselawat dan membaca ayat al-Quran bagi meredakan ketakutannya apabila rumahnya di tingkat dua Rumah Pangsa Jalan Kolam Air di sini bergoyang.
Sementara itu, Pengerusi persatuan penduduk, Arbaee Ali, 53, pihaknya akan memantau rumah penduduk terutamanya warga emas.
“Penduduk diminta keluar jika berlaku gegaran lagi selepas ini untuk memastikan mereka selamat,” katanya.
Pelajar Kolej Komuniti Segamat, M. Krithigisvaran, 18, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah di Batu Anam.
“Mujur saya tidak berada di kolej sewaktu kejadian kerana saya terbaca salah satu bangunan di situ mengalami keretakan kecil,” katanya.
S. Eswaran, 18, pula gusar dengan gegaran yang berterusan sebanyak enam kali itu.
“Sekarang kami bimbang salah satu bangunan di kolej kami sudah retak walaupun pihak kolej memberitahu ia masih selamat,” katanya.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor, Ir. Azren Khalil memberitahu, gempa bumi tidak merosakkan struktur Empangan Bekok, Sembrong dan Machap di sekitar Johor.
“Aras air empangan semasa berada dalam julat yang selamat dan terkawal, tiada sebarang tanda menunjukkan risiko kegagalan struktur atau pelepasan air yang tidak terkawal,” katanya.















