Minat mendalam terhadap kopi mendorong seorang anak muda di Kota Tinggi, Johor membuka kafe bertemakan kopitiam moden dengan sentuhan klasik dikenali sebagai Kopi dan Mawar.
Pemiliknya, Mohamad Nazren Nasha Abu Samah, 30, berkata, dia merupakan pencinta kopi tegar yang gemar mencuba pelbagai jenis kopi baharu.
“Duit belanja saya banyak habis untuk kopi. Jadi, saya fikir lebih baik buka kedai sendiri untuk dijadikan sumber rezeki,” katanya.
Menurutnya, pada peringkat awal, dia hanya merancang membuka sebuah kedai kecil dengan satu mesin kopi, seorang barista dan dua pembantu.
Bagaimanapun, ketiadaan ruang kecil yang sesuai di bandar Kota Tinggi membuatkannya terpaksa memilih lot kedai lebih luas.
Situasi itu mendorong Mohamad Nazren atau lebih mesra dipanggil Naz membangunkan konsep kopitiam moden dengan mengekalkan elemen klasik pada dekorasi serta menu.
Katanya, pelanggan boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan, Nusantara serta Barat yang diolah mengikut cita rasa tempatan.
Antara menu utama yang menjadi tarikan adalah mi bandung. Menu itu merupakan resipi ibunya yang diubah suai mengikut selera pada masa kini.
“Mi bandung adalah ‘killer’ menu di sini. Selain itu, ramai juga yang datang untuk mencuba asam pedas siakap dan nasi ayam penyet,” jelasnya.

Hidangan unik lain adalah ‘stew gearbox’ ala Kopi dan Mawar yang dihidangkan bersama roti bakar panas.
Menurut Naz, kebanyakan resipi dipelajari daripada ibu dan datuknya yang merupakan individu paling pandai memasak dalam keluarga.
“Sejak kecil, saya sudah terbiasa berada di dapur. Dari situlah, saya belajar memasak,” katanya.
Bagaimanapun, menu Barat di kedainya adalah hasil olahan resipi sendiri untuk memberikan kelainan kepada pelanggan.
Naz turut menekankan aspek kualiti dalam setiap hidangan yang disediakan.
Dia mengakui cukup tegas apabila membabitkan soal resipi dan melarang tukang masaknya mengubah rasa asal yang telah ditetapkan.
“Kalau ubah resipi, itu bukan lagi makanan Kopi dan Mawar. Saya sendiri selalu rasa dulu guna sudu kecil untuk pastikan rasanya konsisten,” katanya.
Selain kualiti makanan, dekorasi kafe menjadi daya tarikan pelanggan.
Dengan susunan meja kemas dan hiasan bercirikan klasik moden, setiap sudut kafe sesuai dijadikan tempat bergambar.
Malah, ada pelanggan menyangka Naz menggunakan khidmat pereka dalaman profesional untuk dekorasi kafe berkenaan.

“Sebenarnya, semua saya deko sendiri ikut cita rasa. Kalau upah interior designer, duit habis di situ sahaja,” katanya.
Naz tidak menafikan persaingan dalam industri makanan sangat sengit.
Kos bahan mentah yang semakin meningkat turut menjadi cabaran besar buatnya sebagai pengusaha.
Namun, dia berusaha menambah menu baharu dari semasa ke semasa untuk menarik lebih ramai pelanggan.
Katanya, komen positif daripada pelanggan menjadi suntikan semangat untuk terus mengembangkan perniagaannya.
Bagaimanapun, dia belum bercadang untuk membuka cawangan baharu buat masa ini.
Jelasnya, Kopi dan Mawar hanya satu dan konsep itu tidak akan ditiru di mana-mana tempat.
“Nama kafe ini saya ambil sempena tempat iaitu Jalan Mawar.
“Kalau ada rezeki untuk buka cawangan lain, mungkin dengan konsep dan nama lain,” katanya.
Naz turut berharap pelanggan terus memberi sokongan bagi membolehkan kafenya kekal beroperasi, sekali gus membantu pekerja yang banyak berkorban masa dan tenaga.
“Saya berdoa dapat menambah jumlah pelanggan untuk berkongsi rezeki dengan staf. Ini kerana, mereka semua ada tanggungjawab besar di rumah,” ujarnya.














