fbpx
Noor Azian menyediakan khidmat confinement lady untuk menjaga ibu selepas bersalin dan menyediakan pakej menjaga bayi, membuat masakan berpantang dan lain-lain untuk pelanggannya di sekitar Perak.

Bidan glamor raih RM12,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bidan atau confinement lady kini bukan sahaja menjadi kerjaya yang popular, malah mampu menjana pendapatan lumayan mencecah RM12,000 sebulan bergantung kepada pakej yang ditawarkan kepada wanita bersalin.

Mereka bukan sahaja menawarkan urutan lepas bersalin, malah mempunyai pakej memasak masakan berpantang, menjaga bayi, mengemas rumah, membasuh pakaian, bertungku dan lain-lain.

Juruterapi perbidanan, Noor Azian Zakaria, 40, berkata, dia kini memperoleh RM10,000 sebulan dengan pengalaman menjadi confinement lady selama 16 tahun di sekitar Perak.

Katanya, ia berbeza beberapa tahun lalu apabila hanya meraih antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan kerana kurang keseda­ran tentang penjagaan selepas berpantang dalam kalangan wanita.

“Trend ini mula meningkat sejak 2019 apabila wanita bersalin makin sedar mengenai kepen­tingan confinement lady. Sejak itu, tiada hari saya tidak ada pe­langgan kerana saya boleh dapat RM300 sehari.

“Dunia makin moden dan orang mampu kerana mereka telah membuat persediaan awal menabung untuk servis penja­gaan selepas bersalin. Saya kini mempunyai 12 confinement lady di bawah seliaan saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Menurut Noor Azian, Diploma Kemahiran Malaysia Postnatal Care, Urut Terapi dan Refleksologi yang bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran membuatkan ramai pelanggan yakin dengan khidmatnya.

Nurafnih Rahmat, 42, pula mendedahkan dia mendapat RM12,000 sebulan dengan menjadi confinement lady sepenuh masa sejak 20 tahun lalu.

Katanya yang menetap di Se­langor, ramai pelanggannya lebih gemar mengambil pakej antara tujuh hingga 44 hari.

“Kalau dulu biasa pelanggan ambil tiga hari atau sehari sahaja untuk mengurut penutup pantang. Tapi sekarang, memang ramai yang ambil pakej lebih lama.

“Bidan moden macam kami ini bukan sahaja ada ilmu mengurut, tetapi perlu mahir serba serbi seperti masakan dan sebagai­nya,” katanya.

Sementara itu, Aika Sahim, 45, kerjaya yang diceburinya sejak lapan tahun lalu menjadi punca rezeki bagi dirinya sekeluarga selain waktu kerja yang fleksibel.

Katanya yang menetap di Pontian, Johor, mempunyai Perakuan Pengamalan Pengamal Berdaftar dalam Penjagaan Postnatal, Urut Melayu menjadikan para pelanggan yakin dengan servis yang ditawarkan.

“Kami yang berdaftar melalui proses pembelajaran dan latihan praktikal serta teori daripada pelatih yang berlesen,” katanya.

Sementara itu, Zakaria Hashim, 30, berkata, dia sanggup mengikat perut dengan menabung sejak isterinya mengan­dung dua bulan bagi mendapatkan khidmat confinement lady selepas bersalin.

“Saya membayar RM3,600 untuk khidmat selama dua minggu buat isteri. Saya mahukan yang terbaik buat anak dan isteri yang telah bertarung nyawa ketika melahirkan,” katanya.

Bagi Jeiilnyly Humaira Masal, 31, dia mengambil khidmat itu kerana tidak mahu ibunya bersusah payah datang dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk menjaganya ketika berpantang.

“Sudah dua kali saya gunakan khidmat mereka. Saya juga dapat belajar cara menguruskan bayi kerana mereka sediakan semuanya termasuk mengurut, memasak, menjaga bayi,” kata­nya.

Dalam pada itu, Shahirah Ieda, 27, berkata, bersalin secara kaedah pembedahan membuatkan dia tidak berdaya untuk bergerak apatah lagi menguruskan diri sendiri.

Tambahan pula dengan hubungan jarak jauh bersama suami yang berada di pantai timur, mengambil servis confinement lady merupakan penyelesaian terbaik buat dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN