KEMAMAN – Kira-kira 300 penduduk Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai di sini resah apabila kerosakan pelampung pada tangki air utama perumahan sejak empat tahun lalu boleh mendatangkan pelbagai risiko keselamatan jika tidak dibaiki segera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Rumah Murah Taman Semarak Binjai, Mohd. Shahrir Abdul Rahman mendakwa, kerosakan itu menyebabkan lebihan bekalan air melimpah keluar dari tangki air utama itu selama 13 jam sehari terutama di luar waktu puncak.
Katanya, ia bukan sahaja menyebabkan pembaziran malah menjadikan lokasi sekitar sebagai pusat pembiakan nyamuk.
“Kerosakan pelampung menyebabkan air sentiasa melimpah biarpun sudah penuh terutama waktu penggunaan kurang.
“Limpahan biasanya sewaktu kebanyakan penduduk keluar bekerja pada pukul 8 pagi hingga 2 petang serta masa tidur iaitu pukul 10 malam hingga 6 pagi,” katanya.
Menurut Mohd. Shahrir, limpahan bagai air terjun itu juga menarik minat kanak-kanak bermain di situ yang dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya.
Tambahnya, jika masalah itu dibiarkan berlarutan, ia akan mendatangkan masalah kepada 230 isi rumah di perumahan itu.
“Sampai bila syarikat utiliti air negeri perlu membiarkan kerugian ini yang sudah berlarutan sejak tahun 2021.
“Tolong baiki segera demi keselamatan penduduk,” katanya.














