KEMATIAN menyayat hati pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, terus menjadi topik hangat dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat dan netizen.
Dakwaan punca kematian adalah disebabkan insiden buli telah menimbulkan keresahan kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berasrama.
Justeru, pelbagai cadangan telah dibangkitkan antaranya mengembalikan penggunaan rotan kepada guru sebagai salah satu langkah disiplin.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencadangkan supaya hukuman rotan dikembalikan semula bagi menangani isu disiplin membabitkan pelajar di sekolah.
Cadangan itu disuarakan ketika membahas isu buli selepas sesi penerangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat di Dewan Rakyat.
Ia turut disambut baik Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Kelantan, Dr. Afif Mohd. Ridzwan.
Menurutnya, dia sering berhadapan dengan pesakit berkaitan buli dan menyatakan sudah tiba masanya hukuman rotan dikembalikan semula sekali gus menimbulkan rasa takut kepada pelajar.
“Kembalikan semula rotan ke tangan guru. Ia bukanlah bertujuan merotan semata-mata tetapi menakutkan atau menggerunkan para pelajar apabila mereka buat salah.
“Saya sendiri pernah beri rotan kepada guru anak-anak saya di sekolah, agar mereka menggunakan rotan tersebut jika tidak buat kerja sekolah atau mempunyai salah laku,” katanya.
Tambahnya, selain merotan, pihak sekolah juga perlu menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar dari sudut psikologi.
“Selain itu saya cadangkan nama pembuli diumumkan di sekolah seperti waktu perhimpunan.
“Ini secara tidak langsung mempengaruhi psikologi pelajar hingga membuatkan mereka malu untuk membuli atau buat kesalahan lain.
“Sebelum ini, acapkali segala masalah hanya dibawa ke bilik kaunseling untuk siasat dan sorok kesalahan pelajar,” katanya.
Akuinya, ia boleh membuatkan mereka (pelajar) berubah dan beri pengajaran kepada yang lain agar tidak melakukan kesalahan.
Pada masa sama, Dr. Afif berharap semua pihak memanfaatkan sistem aduan digital di sekolah yang mudah diakses termasuk melalui kod QR, sekali gus membolehkan ibu bapa atau pelajar membuat laporan.
“Sistem aduan ini memberi peluang kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri membuat aduan berkaitan kes buli atau masalah lain.
“Dalam sistem tersebut kita boleh tahu segala maklumat siapa yang mengadu dan apa isu yang ditimbulkan untuk disiasat.
“Apabila dapat tahu siapa yang membuli, tolonglah umumkan nama mereka dalam kalangan pelajar dan jangan sorok kesalahan mereka,” ujarnya.
Senada dengan Afif ialah pakar perunding psikiatri, Datuk Dr. Andrew Mohanraj yag menyatakan hukuman rotan masih relevan dan wajar dilaksanakan semula bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kesalahan yang dilakukannya.
“Dengan wujudnya pelaksanaan hukuman rotan yang mendatangkan kesakitan dan kesan fizikal, ia akan menimbulkan rasa takut kepada pelajar untuk mengulangi perbuatan yang menyalahi peraturan disiplin sekolah.
“Justeru, dengan pelaksanaan hukuman rotan akan memupuk rasa sedar dan dapat mengurangkan kekerapan masalah disiplin yang timbul,” katanya.














