SETIAP kali tibanya bulan Ogos, perasaan teruja dan semangat berkobar-kobar mula meresap dalam diri setiap anak Malaysia.
Laungan slogan kemerdekaan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik turut menghiasi ruang-ruang pejabat kerajaan, dewan sekolah dan pusat beli-belah.
Dari ibu kota hingga ke pekan kecil, Jalur Gemilang juga berkibar megah. Anak-anak di sekolah tersenyum riang mengenakan pakaian kebangsaan. Ada yang berbaju Melayu lengkap bersamping, ada juga yang bangga memakai pakaian hiasan Jalur Gemilang.
Namun, dalam kesungguhan kita meraikan detik bersejarah 31 Ogos, ada kumpulan manusia yang masih tersisih dari maksud sebenar kemerdekaan.
Mereka ini tinggal di hujung desa, di celah banjaran dan di sebalik liku sungai deras. Warna warni kemerdekaan itu hanya dirasai jika ada kunjungan agensi luar, lawatan kumpulan mahasiswa ataupun program sosial syarikat mega.
Selesai program, ruang hati mereka kembali kosong. Meneruskan kehidupan dengan cara sendiri sambil mengharapkan ada lagi ‘kegembiraan’ yang hadir dalam komuniti mereka.
Hakikatnya, Hari Merdeka bukan sekadar tarikh 31 Ogos. Ia juga bukan hanya karnival, perarakan, atau nyanyian penuh semangat. Merdeka seharusnya dirasakan oleh seluruh rakyat
tanpa mengira lokasi dan keadaan.
Tetapi realitinya, masih ada anak-anak pedalaman yang tidak pernah menikmati kemudahan asas. Mereka hanya berpeluang mengenal abjad ABC dan nombor 123 di sekolah usang.
Bekalan elektrik yang dibekalkan sangat terhad dan sering terputus-putus. Jalan raya pula berlumpur dan hanya dilalui apabila cuaca mengizinkan. Internet? Bagi mereka, itu suatu kemewahan, bukan keperluan.
Adakah ini wajah merdeka yang kita banggakan? Bagaimana mungkin kita bercakap tentang negara maju jika masih ada anak Malaysia yang terpaksa berpanas dan berhujan untuk ke sekolah.
Ada yang masih menempuh jambatan usang dan tanah berlumpur untuk sedikit ilmu dan ada juga hadir ke sekolah tanpa sarapan kerana keluarga hidup serba daif.
Ironinya, kita tidak boleh terus menutup mata. Merdeka mesti disuburkan dengan tindakan, bukan hanya slogan. Kerajaan, syarikat berkepentingan, dan masyarakat seluruhnya harus turun padang dan bukan sekadar berjanji di pentas.
Anak-anak pedalaman perlu dibekalkan kemudahan pendidikan setara, sekolah baharu yang selamat, capaian internet yang stabil dan pengangkutan yang teratur.
Guru-guru pula harus diberi insentif agar terus berbakti di pedalaman tanpa rasa terpinggir.
Selain itu, kita perlu mendengar suara mereka. Anak-anak pedalaman tidak meminta emas dan permata, tetapi hanya peluang. Mereka mahu merasai bahawa negara ini peduli akan hidup mereka.
Tatkala kita melaungkan Merdeka! tahun ini, jangan biarkan gema itu hanya berlegar di bandar. Biarlah ia merentasi bukit, menyusuri sungai, menembusi hutan dan sampai ke hati anak-anak pedalaman.
Di akhirnya, apabila mereka juga tersenyum bangga dengan peluang yang sama, barulah kemerdekaan ini benar-benar dirasai dengan rasa syukur.














