TEPAT pukul 6.13 pagi pada 24 Ogos lalu, bumi Segamat di Johor bergegar susulan pelepasan tenaga yang berlaku ekoran pergerakan atau pergeseran dalam kerak bumi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, gempa bumi itu berlaku di koordinat 2.5° Utara dan 102.8° Timur dengan magnitud 4.1 serta jarak 5 kilometer (km) barat dari Segamat, Johor.
Tiga jam kemudian, satu lagi gegaran kecil berlaku di koordinat 2.2° Utara dan 103.1° Timur berukuran 2.8 magnitud di Barat Laut Kluang, Johor.
Ada yang menduga kejadian itu akibat bunyi letupan bom sebelum mereka mendapat tahu gegaran itu adalah akibat kejadian gempa bumi.
Ramai yang beranggapan bahawa Malaysia selamat dan kebal daripada gempa bumi ekoran kedudukan geografi berada di Plat Sunda yang kedudukannya stabil dan bukannya dalam Langkaran Api Pasifik, yang mana terdapat jalur gunung berapi.
Namun tanggapan atau teori ini sudah tidak relevan lagi.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Mohd. Zamri Ramli, berdasarkan kajian terdahulu, Malaysia memang terletak di Plat Sunda.
Plat Sunda ialah satu plat tektonik kecil yang merangkumi sebahagian besar Semenanjung Malaysia, Borneo (Sabah dan Sarawak), Sumatera, Jawa, Bali, dan bahagian barat Pulau Sulawesi.
Ia merupakan pecahan Plat Eurasia dan terletak di kawasan yang sangat aktif.
Beliau yang juga Ahli Kumpulan Penyelidik Engineering Seismology and & Earthquake Engineering Research (eSEER), UTM berkata, Malaysia kini dikatakan telah berada dalam Lingkaran Api Pasifik seperti mana dinyatakan pakar-pakar dan rujukan dan kajian terkini.
Jelasnya, ini kerana Malaysia menerima pengaruh tekanan yang kerap dan sangat aktif dari pergerakan tektonik serantau seperti Indonesia dan Filipina.
“Daripada kajian pakar seismologi, kejadian gempa bumi berlaku di mana-mana titik sesar secara berulang dengan sela beberapa tahun.
“Contoh di Ranau, Sabah direkodkan kali pertama pada tahun 1991, kali kedua pada 2015 dan dikatakan akan berlaku satu gempa bumi dengan magnitud besar sehingga 6 richter dalam sela 25 tahun.
“Lahad Datu pula berlaku dalam sela 50 tahun.
“Sesar yang dikatakan tidak aktif ini mungkin pernah mengalami gempa bumi satu ketika dahulu dengan sela yang tidak diketahui dan mungkin puluhan atau ratusan tahun,” katanya.
Menurut Mohd. Zamri, Malaysia masih berisiko berlakunya gempa bumi dengan magnitud lebih tinggi.
Antara lokasinya ialah di sekitar Ranau dan Lahad Datu, Sabah yang telah menghasilkan gempa bumi melebihi 6 skala Ricther.
Di Sarawak pula pernah berlaku di sekitar Niah, Sarawak, manakala di Semenanjung Malaysia pula berlaku di sepanjang sesar Bukit Tinggi antara tahun 2007 hingga 2009 dengan kekuatan 4.2 skala Richter.
Juga pernah berlaku di Terengganu dan sekitar Perak selain Segamat dan Kluang, Johor.
“Jika sesarnya semakin panjang, maka akan semakin berpotensi mengalami gempa bumi yang lebih besar dan kerap kerana permukaan pergeseran antara dua rekahan semakin besar,” kata Mohd. Zamri.














