fbpx
Jegan (kiri) dengan bull shark yang dipancing di perairan Rompin baru-baru ini.

Ledakan yu garang di perairan Rompin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua spesies ikan iaitu bull shark dan layaran menguasai laut di Rompin, tetapi dengan kisah serta perwatakan yang jauh berbeza.
Bull shark mendapat nama daripada tabiatnya yang gemar melanggar dan menanduk mangsa persis seekor lembu matador, reputasi ikan ini tidak perlu diperkatakan lagi.
Jika ikan layaran adalah olahragawan yang memukau, bull shark pula ibarat abang besar yang menguasai kawasan, cukup gah dengan reputasi amat menggerunkan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, laporan daripada nelayan dan pengusaha bot meman­cing berkenaan kehadiran bull shark di perairan Rompin menunjukkan peningkatan.
Spesies ini terkenal sebagai antara yu paling agresif di dunia. Malah, ia berada di tangga ketiga dalam senarai serangan ter­hadap manusia, selepas jerung putih dan jerung rimau.
Dua kondisi air
Uniknya, spesies yu ini merupakan haiwan euryhaline kerana ia mampu hidup di air masin, air payau dan air tawar.
Sifat ‘serba boleh’ ini membuatkan bull shark sering hadir di kawasan estuari, kebolehan ini dikenali sebagai osmoregulas.
Di Australia, bull shark dikesan memasuki sungai sehingga ratusan kilometer ke hulu untuk memburu.
Di Malaysia pula, masih tiada lagi catatan atau rekod yang menunjukkan ia pernah sampai ke hulu sungai, namun itu tidak mustahil.
Bagi pemancing, kehadiran bull shark boleh membawa dua reaksi. Pertama, keterujaan untuk bertarung dengan pemangsa gergasi ini.
Kedua, kebimbangan kerana ia mengubah keseimbangan ekosistem laut tempatan.
Bukan rahsia lagi, bull shark kerap ‘mencukai’ ikan yang sedang bertarung dengan pemancing se­perti tenggiri, talang dan layaran sebelum sempat dinaikkan ke bot. Kejadian seperti ini yang menjadikan kehadirannya sedikit kontroversi.
Tular
Baru-baru ini, kecoh di laman sosial mengenai penangkapan bull shark oleh seorang pemancing yang juga pelakon, P. Jegan ketika menja­lani rakaman program televisyen.
Selepas mengharungi empat jam pertarungan yang penuh drama, bull shark tersebut dapat didaratkan hasil kerjasama tekong dan awak-awak. Selepas ditimbang, angka di penimbang menunjukkan beratnya adalah 300 kilogram (kg).
Sayangnya, setelah pertarungan yang panjang, yu tersebut tidak dapat diselamatkan kerana keletihan yang melampau.
Gambar kiriman sahabat saya, Amer Akhmal Mohamed Hamdan bersama bull shark yang memasuki pukat jerut nelayan tempatan.
Beberapa hari kemudian, gambar Jegan bersama yu itu segera tular dalam kalangan warga maya terutamanya buat pe­minat selaman skuba.
Di satu pihak, ada yang mengecam keras tindakan pelakon tersebut dengan alasan spesies ikan yu adalah dilindungi.
Di satu pihak lain pula bersikap natural, tidak pula membenarkan atau menyalahkan.
Senarai merah IUNC
Dalam senarai yang dikeluarkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUNC), kebanyakan spesies ikan yu diletakkan dalam senarai merah.
Ia menandakan yu sebagai spesies ikan yang populasinya diambang penurunan mendadak dan boleh menyumbang kepada kepupusan.
Antara punca yang menyebabkan penurunan populasi ikan ini adalah pemburuan dan penangkapan secara berlebihan untuk bahagian siripnya.
Bagaimanapun di Malaysia, hanya lima spesies ikan yu disenaraikan sebagai dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) (Pindaan 2019):
• Yu tukul parang (Sphyrana
mokarran)
• Yu tukul rata (Sphyrana zygaena)
• Yu tukul parang varian (Eusphyra
blochii)
• Yu sirip putih besar (Carcharhinus
longimanus)
• Yu paus (Rhincodon typus)
Yu gergaji (sawfish) juga termasuk di dalam senarai di atas, namun di­letakkan dalam kumpulan ikan pari.
Menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), tiada larangan pe­nangkapan untuk bull shark secara khusus, terutamanya buat kaki pancing dan nelayan. Namun, itu tidak bermakna ikan ini boleh ditangkap secara komersial atau besar-besaran.
Pokoknya, masyarakat terutamanya golongan pemancing dan nelayan perlu peka terhadap situasi yang melibatkan ikan  yu di perairan Malaysia. Satu kajian bersepadu diperlukan untuk mengumpul data dan keberadaan spesies ini di seluruh Malaysia.
Antara ancaman atau populasi
Berbalik kepada bull shark di perairan Rompin, walaupun ia sudah lama wujud di sana, namun ketiadaan data dan kajian yang khusus daripada pihak-pihak berkaitan sedikit menyukarkan.
Setakat ini, ia hanya bersandarkan ‘cakap-cakap’ (hearsay) dalam kalangan pengusaha bot, peman­cing dan nelayan tempatan, tetapi ada asasnya kerana mereka ini sentiasa berada di lapangan berbanding pihak yang mengecam.
Lebih membimbangkan, jika ledakan populasi bull shark ini semakin meningkat, ia dikhuatiri boleh menghimpit ke kawasan cetek di pinggir pantai atau memasuki mana-mana sistem estuari berdekatan.
Saya sendiri ketika dalam sesi penggambaran bersama satu program televisyen di Rompin telah berhadapan dengan situasi di mana ikan layaran yang dilepaskan diserang sekumpulan bull shark dengan anggaran berat antara 200 hingga 300kg seekor.
Baru-baru ini, seorang kenalan saya turut menghantar gambar tangkapan dua ekor bull shark
yang masuk ke dalam pukat jerut nelayan.
Gambar itu diambil di Jeti Persa­tuan Nelayan Kawasan Endau yang terletak setengah jam pemanduan dari Kuala Rompin.
Bull shark mungkin menggerunkan, namun lebih menakutkan jika suatu hari nanti ia lenyap dari perairan kita tanpa sempat memahami peranannya.  Kajian dan kesedaran harus diperkasakan bagi menilai, sama ada ia benar-benar ancaman  atau benteng terakhir yang menjaga keseimbangan laut di Rompin.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN