fbpx
Cubaan untuk membawa masuk produk import secara salah menerusi pintu masuk sah menggunakan taktik tertentu terus berlaku.

Tapis betul-betul, elak produk tak halal terlepas masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI pengguna Islam, jaminan status halal bagi setiap produk makanan terutama yang diimport adalah sangat penting dan menjadi keutamaan.

Ia adalah soal keyakinan serta hak umat Islam untuk mendapatkan makanan yang benar-benar suci dan bersih menurut syariat.

Langkah penting adalah menerusi pemeriksaan yang rapi dan ketat oleh penguat kuasa di pintu masuk negara.

Ini perlu susulan cubaan untuk membawa masuk produk import secara salah menerusi pintu masuk sah menggunakan taktik tertentu terus berlaku.

Baru-baru ini, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 13,308 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku import yang diragui status halal menerusi pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Kesemua keratan ayam sejuk beku itu dirampas menerusi tiga pemeriksaan berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 11 April, 9 Mei dan 8 Ogos lalu.

Menurut Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, rampasan pertama melibatkan 4,104 kg keratan ayam sejuk beku bernilai RM62,052 diikuti 4,128 kg dengan nilai RM78,143 dan ketiga sebanyak 5,076 kg bernilai RM62,130.

“Ketiga-tiga kes ini melibatkan kesalahan sama iaitu label tarikh luput, tarikh pengeluaran dan kod pengeluaran pada pembungkusan tidak sepadan dengan maklumat dalam sijil halal yang diisytihar.

“Kotak barangan tersebut dicampurkan dengan kotak-kotak lain yang diisytihar secara betul yang mana ia memerlukan pemeriksaan secara teliti dan satu persatu oleh pasukan,” katanya.

Kata beliau, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan di pintu masuk sempadan termasuk pemeriksaan ke atas kenderaan barangan.

“Cubaan membawa masuk barang kawalan yang mempunyai status halal meragukan akan memberi kesan kepada keselamatan makanan dan ekonomi negara,” tegasnya.

Di pintu masuk negara, pemeriksaan menyeluruh dilakukan dengan memastikan semua dokumen termasuk sijil pengesahan halal, ‘consignment note’ dan butiran pengimportan adalah lengkap.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, cubaan membawa masuk produk import berupa keratan ayam sejuk beku dan daging lembu atau kambing secara salah dan diragui status halal sudah lama berlaku.

“Kita bimbang ada yang sebenarnya tidak halal terlepas masuk ke dalam negara, jadi pihak penguat kuasa di pintu sempadan perlu membuat pemeriksaan secara lebih ketat.

“Prosedur operasi standard (SOP) untuk membawa masuk ayam atau daging import ini sebenarnya sangat ketat dan tidak sepatutnya barangan tidak memenuhi kriteria ditetapkan lolos masuk ke dalam negara,” katanya.

Beliau berharap semua penguat kuasa di pintu sempadan dapat menjalankan tugas dengan amanah dan penuh integriti iaitu memastikan semua produk makanan yang dibawa masuk bukan sahaja mematuhi peraturan ditetapkan, malah diyakini status halal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN