REMBAU – Seorang pesara guru yang memulakan perkhidmatan sebelum zaman kemerdekaan berkongsikan pengalaman mengajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Seremban merupakan pengalaman paling indah dalam kerjayanya.
Pesara guru berkenaan, Cikgu Mohd Faridun Mohd Jonid, 90, berkata, ironinya dia memulakan perkhidmatan di sekolah berkenaan selepas menjalani pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu iaitu kira-kira dua tahun selepas merdeka.
Katanya, pada masa berkenaan, dia mengayuh basikal dari kediamannya di Taman Tasik seawal hari pertama pendaftaran di SMJK Chan Wa di Sikamat tidak sangka ‘sudah diintai’ kumpulan gengster di Limbok.
“Dalam 30 hingga 40 minit kayuh, masa lalu di Limbok dah diintai (gangster). Entah macam mana selepas itu dah dua, tiga kali lalu situ, gangster tujuh ke lapan orang dah siap tunggu dengan rantai basikal.
“Mujur kumpulan anak murid saya di tingkatan lima (SMJK Chan Wa) nampak. Saya dengar dia jerit, ‘Jangan itu cikgu saya tu, dia baik, dia cikgu saya’. Sudahnya, kumpulan gangster itu pula yang minta maaf dan katakan jika ada apa-apa masalah boleh jumpa mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Mulia, di sini, semalam.
Cerita Mohd. Faridun lagi, pada masa berkenaan anak muridnya walaupun berbeza bangsa, sangat menghormatinya sebagai guru Bahasa Melayu dan sanggup menyertai kelas tambahan yang diberikannya di sekolah pada hari Sabtu.
“Dulu perli-perli, jerit hina kaum tertentu tak ada sangat berlaku. Semua harmoni lebih-lebih lagi kalau mereka aktif sukan. Semua dalam satu pasukan, kini semuanya berubah, sekarang kita selalu selisih faham,” katanya.















