fbpx
Sebahagian penghuni yang menetap di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Tan Sri mati lepas dibuang di rumah orang tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMENYIH – Walaupun bergelar Tan Sri, seorang ahli perniagaan terpaksa menjalani sisa hidup seorang diri sebelum meninggal dunia di sebuah pusat jagaan di sini tanpa keluarga di sisi.

Sebelum dimasukkan ke pre­mis jagaan tersebut, warga emas itu dikatakan ditinggalkan di hospital di Lembah Klang selama beberapa bulan kerana menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan hepatitis C.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, pihaknya menerima lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu selepas tidak dituntut oleh waris.

“Disebabkan tiada waris yang menuntut, pihak hospital menghubungi kami untuk menempatkan lelaki itu di pusat jagaan ini pada 2017. Pihak kami bersetuju untuk terima memandangkan Tan Sri itu sudah lama menjadi ‘penghuni’ hospital.

“Kami tidak tahu beliau berpangkat Tan Sri. Perkara itu terbongkar selepas seorang wanita dipercayai bekas isterinya da­tang ke pusat jagaan ini untuk meminta sijil kematian.

“Wanita itu datang bersama pengawal peribadi dan peguam mengugut kami supaya me­nyerahkan sijil kematian Tan Sri tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat jagaan itu baru-baru ini.

Menurut Muhammad Syafiq, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki itu telah mengagihkan hartanya kepada keluarga sebelum dia ditinggalkan di hospital disebabkan masalah kesihatan.

Beliau memberitahu, pusat jagaannya tidak sesekali mencampuri urusan peribadi penghuni dan keluarga mereka.

Selain Tan Sri tersebut, Muhammad Syafiq berkata, pihak­nya turut menerima peng­huni berpangkat Datuk dan mempunyai banyak harta, namun turut ditinggalkan oleh ahli keluarga.

“Penghuni (Datuk) itu ma­suk ke sini pada 2018, bagaimanapun selang beberapa tahun selepas itu dia meninggal dunia.

“Kami hanya mengetahui mengenai statusnya selepas lelaki itu meninggal dunia.

“Secara amnya, kebanyakan­nya ahli keluarga akan muncul selepas penghuni meninggal dunia dan tujuan mereka adalah bagi menuntut sijil kematian untuk tujuan tuntutan harta,” katanya.

Jelasnya, selain dua kes melibatkan individu berpangkat, terdapat beberapa lagi penghuni di pusat jagaan tersebut yang mempu­nyai kerjaya hebat, tetapi dibuang keluarga disebabkan harta, dendam dan masalah keluarga.

“Ada yang bergelar profesor, pensyarah dan menjawat jawatan tinggi dalam agensi kerajaan.

“Selain itu, ada juga bekas pelakon yang menghuni di pusat ini. Bagaimanapun, kebanyakan identiti terdedah setelah mereka meninggal dunia.

“Ketika masih hidup, ‘batang hidung’ ahli keluarga pun tak pernah nampak, jauh sekali hendak menghubungi kami untuk bertanya khabar ahli keluarga di sini,” katanya sambil membe­ritahu pusat jagaan itu beroperasi sejak 2016.

Muhammad Syafiq berkata, ketika ini, rumah jagaan itu mempunyai 52 penghuni termasuk 20 wanita dan berbilang bangsa. Sejak dibuka, premis itu sudah mengendalikan 300 penghuni yang datang bersilih ganti.

Daripada jumlah itu, 62 orang telah meninggal dunia di pusat jagaan tersebut.

“Kebanyakan penghuni sebelum ini ditinggalkan oleh ahli keluarga di hospital selama berbulan-bulan sebelum pihak hospital atau Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar ke pusat jagaan ini.

“Paling lama ditinggalkan di hospital selama 250 hari tanpa seorang waris pun datang menun­tut. Akhirnya dia dibawa ke sini dan menghembuskan nafas terakhir di pusat jagaan ini,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini pusat jagaan tersebut mampu menampung 50 penghuni dalam satu-satu masa walaupun ramai yang memohon.

“Secara purata dalam sebulan kita terima lebih 50 permohonan untuk menghantar warga emas di sini, tetapi disebabkan keka­ngan kewangan, kami tidak mampu untuk menerima penghuni lagi buat masa ini.

“Ketika ini juga kami memerlukan lebih RM65,000 sebulan untuk menampung kos jagaan warga emas termasuk ubat, lampin pakai buang, gaji kakitangan, bil utiliti serta makan minum yang ada di sini,” katanya.
Kos pengoperasian rumah ja­gaan itu adalah hasil sumbangan orang ramai.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN