fbpx
Gambar Janaan AI

Anak hanyalah pinjaman, bukan hak mutlak!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDEDAHAN ibu Anna Jobling, Ariz Arop mengenai keretakan hubungan mereka selain pernah menerima perintah injunksi daripada pelakon itu pada Disember lalu mencuri perhatian banyak pihak.

Meski beberapa siri curahan hati dilakukan wanita itu dalam media sosial, Anna, 25, dilihat mengambil pendekatan berdiam diri.

Hakikatnya, itu bukan kisah pertama pertelingkahan keluarga menjadi tatapan umum. Baik dalam kalangan selebriti, pempengaruh waima orang kebanyakan sekali pun, banyak sudah kita dengar.

Memilih untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak, senario itu menjentik hati penulis mengulas isu keibubapaan yang barangkali ramai terlepas pandang.

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak. Tanyalah mana-mana pun ibu bapa, pasti sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak-anak dapat menikmati kehidupan lebih baik daripada mereka. Itu asas yang ada dalam diri semua individu apabila bergelar ibu bapa.

Namun, dalam usaha merealisasikan hasrat itu ada yang terlalu berlebih-lebihan sehingga merosakkan emosi dan memudaratkan perkembangan anak-anak.

Bahasa mudahnya, golongan ini sebenarnya toksik apabila memanipulasi, mendera emosi dan kurang empati dengan anak demi melunaskan hasrat hati.

Segalanya perlu ikut acuan dan kehendak kita kononnya itu yang terbaik untuk anak. Perlu diingat, anak bukan penyambung cita-cita kita yang tidak kesampaian, bukan tikus makmal, juga bukan bahan pelaburan meraih kemewahan.

Tanpa sedar kita beri tekanan kepada anak walhal mereka berhak memilih apa yang disukai. Anak-anak didedahkan dengan alam sekolah pada usia muda, malah ada yang bermula seawal usia empat tahun. Di sekolah, mereka sering ditanya tentang cita-cita dan impian.

Tidak kiralah kecil atau besar impian itu, pasti cukup bermakna buat mereka. Sebagai ibu bapa, kita yang mendorong mereka untuk bermimpi dan kenapa pada akhirnya kita menghancurkannya hanya kerana merasakan itu tidak selayaknya diraikan?

Sepatutnya, ibu bapa memainkan peranan membantu anak-anak merealisasikan minat dan kecenderungan mereka. Andai rasa apa yang disukai anak itu kurang berkenan di hati, beri pandangan, ajak berbincang secara baik dan selebihnya biar mereka pilih.

Seperkara lagi, sekiranya ibu bapa ada masalah, tak perlu diagihkan bebanan itu kepada anak. Mereka baru nak hidup, usah dikusutkan fikiran mereka dengan beban rasa kita.

Lebih menyedihkan jika ibu bapa itu ada masalah mental dan baran yang menjadikan anak sebagai punching bag melepaskan amarah. Impaknya sangat besar buat si anak, jadi segeralah dapatkan bantuan dan rawatan sebelum terlambat.

Ingatlah, anak itu sebenarnya pinjaman daripada Allah SWT, bukan hak mutlak ibu bapa. Apa sahaja di dunia ini tidak bersifat kekal. Suami, isteri, anak, harta, kerjaya, semuanya pinjaman.

Selagi nyawa dikandung badan, rai dan hargailah pinjaman itu sewajarnya. Jika anda ada ciri-ciri ibu bapa toksik, belajar berubah demi kebaikan semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN