NAMA Nurul Balqis Muner mungkin tidak dikenali ramai. Biarpun menjadi adik pelakon popular Janna Nick, gadis berusia 21 tahun itu mengakui dia selesa berada di belakang tabir.
Mesra disapa Bal, gadis itu berkata, dia menerima pelbagai tawaran daripada stesen televisyen yang menggunakan suaranya dalam drama animasi.
Kepada Kosmo! Ahad, anak ketiga daripada empat beradik itu berkongsi cerita mengenai dirinya termasuk minat dan perkembangan terkini bagi memastikan segala impian yang diidamkan dapat direalisasikan pada masa akan datang.
KOSMO! AHAD: Boleh kongsi mengenai diri Bal?
BAL: Saya suka mencabar diri keluar dari zon selesa misalnya saya tukar pengajian perubatan ke program bisnes sedangkan saya tidak pernah ambil subjek perniagaan dan perakaunan di sekolah. Alhamdulillah, ‘perjudian’ ini berbaloi. Saya juga memberanikan diri menjadi voice artist (pelakon suara). Saya pernah berlakon dan bernyanyi, tetapi kini minat terarah kepada voice artist sejak berusia 15 tahun. Saya gugup bila berada di depan orang ramai, tetapi apabila masuk universiti saya cabar diri berlakon teater, menyanyi selain jadi pengacara.
Apa perbezaan berlakon depan layar dan pelakon suara?
Berlakon di hadapan kamera, kamera ikut kita. Cara kita hendak sampaikan (lakonan), ikut apa yang kita rasa, tetapi kalau buat dubbing, perlu ikut intonasi dan karakter atau watak yang dibawakan. Jadi agak berbeza.
Bagaimana Bal bahagi masa antara belajar dan kerja?
Sesi rakaman suara biasanya diadakan waktu malam. Jadi ia tidak mengganggu sesi kuliah.
Masih berminat untuk berlakon?
Tidak minat. Sekarang zaman media sosial, ada segelintir netizen suka buat perbandingan. Saya tidak mempunyai hati sekental Janna Nick.
Apa yang menarik tentang Janna di mata Bal?
Dia sentiasa meletakkan sasaran, misalnya jika mahu beli rumah dalam masa setahun, dia akan pastikan sasaran itu dapat dicapai. Dia melakukan satu-satu kerja itu secara bersungguh-sungguh supaya hasil yang diperoleh memuaskan hatinya.
Bagaimana penerimaan orang ramai bila dapat tahu awak adik kepada pelakon?
Rakan-rakan melayan saya seperti biasa. Jadi, saya rasa selesa. Kebanyakan rakan sekelas adalah pelajar luar negara dan mereka tidak kenal Janna.
Aktiviti yang dilakukan pada waktu lapang?
Bawa adik bongsu pergi makan atau riadah atau menonton televisyen dengan ibu di rumah.Kalau Janna ada di rumah, kami lakukan aktiviti bersama.
Siapa Bal dalam masa lima tahun akan datang?
Mahu beli rumah pertama dan yakin dapat capai sasaran tersebut. Saya mahu beli rumah murah dan subsale.
Perancangan jangka masa panjang?
Bekerja di United Kingdom (UK) sebagai penganalisis kewangan.
Perkara paling tidak disukai tentang seseorang?
Orang yang tiada sasaran dalam hidup. Setiap orang perlu mempunyai sasaran sama ada ia tercapai atau tidak, itu belakang
cerita. Kita mesti meletakkan sasaran supaya menjadi panduan ke mana kita akan tuju.














