SUASANA di gelanggang utama ketika kejohanan 6th Bangladesh International Squash Open 2025 meledak dengan sorakan gemuruh apabila Vinikasheinie Kulasegaran berjaya meraih mata kemenangannya.
Namun di sebalik kegembiraan itu, terselit rasa sayu apabila kejayaan tersebut hadir selepas dia menewaskan insan paling rapat dengannya iaitu kakak kembarnya, Vitrikashenie.
Begitulah lumrah pasangan kembar yang berkongsi minat sama, apabila mereka perlu bertarung habis-habisan di dalam gelanggang tanpa sebarang kompromi demi merebut kejuaraan.
Pasangan kembar yang mesra disapa Vinika dan Vitrika itu bukan sekadar pesaing di gelanggang, malah saling melengkapi antara satu sama lain dalam kehidupan seharian.
Menurut Vinika, ada kalanya salah seorang daripada mereka merajuk selepas tewas dalam perlawanan sesama sendiri. Namun mereka tahu cara untuk saling memujuk.
“Lumrah sebagai adik-beradik, kami memang akan rasa sentap dan merajuk kalau tewas dalam perlawanan.
“Tapi sekejap saja. Selalunya, siapa yang menang akan belikan aiskrim sebagai penyejuk hati kepada yang kalah. Itu memang sudah jadi sifat kami sejak kecil. Kami sangat kompetitif dalam gelanggang, namun di luar kami rapat antara satu sama lain,” katanya kepada K-Remaja.
Sebagai rekod, Vinika berjaya merangkul gelaran juara dalam Kejohanan 6th Bangladesh International Squash Open 2025 yang berlangsung di Dhaka baru-baru ini, manakala Vitrika pula menamatkan saingan di tempat kedua.
Skrip yang sama turut pernah berlaku dalam Bangamata Squash Tournament 2022, apabila Vinika muncul juara dan Vitrika menamatkan kejohanan selaku naib juara.
Kembar berusia 20 tahun itu juga aktif dalam kejohanan remaja antarabangsa seperti Oceania Junior Open 2024 yang menyaksikan Vinika mara ke peringkat separuh akhir.
Di peringkat kebangsaan, mereka telah mengambil bahagian dalam beberapa temasya sukan utama negara termasuk Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Sukma 2024 dan
Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) 2024.
Mereka turut menyertai kejohanan institusi pengajian tinggi seperti Majlis Sukan Institusi Swasta Malaysia (Masiswa) Peringkat Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) 2024 dan Mahasiswa TAR UMT 2025.
Mengimbau kembali detik tercetusnya minat terhadap sukan skuasy, Vinika memaklumkan, ia bermula secara tidak dirancang ketika mereka berusia 10 tahun.
“Waktu kecil dulu, ibu bapa saya selalu bawa kami mengunjungi rumah kawan mereka. Ketika itu, anak kawan mereka bermain skuasy.
“Kami beritahu ibu bapa ingin mencuba sukan itu. Setelah nampak potensi kami semasa bermain, ibu bapa terus mendaftarkan kami ke sesi percubaan bersama jurulatih.
“Tiada ahli keluarga kami yang pernah bermain skuasy sebelum ini. Jadi, kami menjadi perintis sukan ini dalam keluarga,” katanya.
Pada zaman persekolahan, Vinika dan Vitrika bukan sahaja aktif dalam skuasy, malah turut mencuba sukan lain seperti bola jaring serta olahraga.
Di luar gelanggang, mereka aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk bermain biola dan tarian klasik India, selain memegang peranan sebagai pengawas.
Karier skuasy mereka bermula di peringkat kelab sebelum mewakili Selangor dan melangkah ke pentas kebangsaan.
Pada usia 16 tahun, mereka mula bersaing dalam kejohanan anjuran Professional Squash Association (PSA).
Menariknya, status sebagai kembar memberi kelebihan kepada mereka kerana dapat berkongsi strategi, taktik dan pandangan berbeza setiap kali bertanding.
Kelebihan itu penting memandangkan mereka pemain persendirian dan tidak bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang lazimnya bertanding secara kumpulan.
Namun, mereka mengakui ada cabaran yang perlu dihadapi, antaranya kecenderungan orang membandingkan kekuatan, kelajuan dan prestasi mereka.
Kongsi Vitrika, salah satu perkara lucu yang sering berlaku adalah apabila pengadil meminta mereka memakai pakaian berbeza sekiranya bertanding sesama sendiri di gelanggang.

“Sebagai kembar seiras, orang ramai termasuk pengadil kejohanan sering keliru dengan kami, walaupun sebenarnya ada sedikit perbezaan dari segi ketinggian.
“Jadi, kami diarahkan memakai pakaian berbeza walaupun sama-sama mewakili Malaysia supaya pengadil dapat mengenal pasti siapa yang mendapat mata,” katanya.
Di gelanggang, impian mereka jelas untuk menembusi ranking 200 terbaik dunia sebelum melangkah ke kelompok elit 100 terbaik.
Kini, Vinika berada di ranking sekitar 290 dunia, manakala Vitrika di kedudukan kira-kira 320.
Pernah suatu ketika, sebelum memberi lebih tumpuan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka pernah meraih ranking 130 dunia.
Namun, kedudukan itu terpaksa dilepaskan sementara demi memberi ruang kepada buku dan peperiksaan.
Hari ini, hala tuju mereka bercabang dua tetapi tetap seiring. Vinika meneruskan langkah di Multimedia University (MMU), Melaka dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.
Vitrika pula menjejak impian sebagai doktor di Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) University, Kedah dengan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan.
Walaupun jadual kuliah padat, namun mereka berdua teguh memegang janji pada diri sendiri untuk menyeimbangkan dunia akademik dan sukan.
Buat masa ini, pelajaran menjadi keutamaan, namun raket skuasy tetap setia di tangan.
Latihan diteruskan dan mereka hanya menyertai kejohanan PSA yang berlangsung di dalam tanah air.
“Ketika sekolah dulu, kami akan siapkan kerja rumah cepat-cepat kerana pada sebelah petang dan malam ada latihan. Kalau ada kejohanan, buku pasti dibawa bersama untuk ulang kaji.
“Selalu juga kami tidak masuk kelas kerana berada di luar negara untuk bertanding.
“Sekarang, kami lebih mengutamakan pelajaran demi mengejar cita-cita jangka panjang iaitu menjadi doktor dan peguam,” kata mereka.
Selepas menamatkan pengajian kelak, pasangan kembar tersebut berhasrat untuk meneruskan misi membantu komuniti belia.
Vinika bercita-cita untuk melatih kanak-kanak bermain skuasy dan membantu golongan tersebut mengatasi masalah sosial dengan memanfaatkan statusnya sebagai peguam pada masa hadapan.
Ketika cuti semester, Vinika turut melibatkan diri sebagai jurulatih sukarela di Nicol David Organisation (NDO), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Vitrika pula berminat untuk berbakti kepada masyarakat melalui bidang perubatan dengan menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Misi mereka adalah untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dalam aktiviti bermanfaat, khususnya sukan kerana ia mampu membentuk disiplin dan mengelakkan masalah sosial.
Sementara itu, Vitrika berkata, jika ingin menjadi atlet negara, seseorang itu tidak semestinya perlu menyertai program di bawah KBS, sebaliknya semangat dan kerja keras adalah kunci kejayaan.
“Dulu, kami membuat keputusan untuk tidak masuk sekolah sukan dan meneruskannya secara persendirian kerana mahu seimbangkan pelajaran serta sukan.
“Kami yakin, pada suatu hari nanti, kami masih boleh berbakti dalam sukan skuasy sebagai jurulatih kepada anak-anak muda, selain melalui bidang akademik yang kami pilih,” ujar mereka.














