PETALING JAYA – Tindakan seorang pemuda ‘istimewa’ bersedekah dengan cara meninggalkan air botol di atas kereta orang awam, mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi video dimuat naik seorang lelaki pada TikTok Pewer Store – Wer Wer atau lebih dikenali sebagai Cik Din, dia terserempak dengan pemuda ‘istimewa’ tersebut yang sedang meletakkan botol air di atas kereta, lalu menegurnya.
Pemuda orang kurang upaya (OKU) berusia 26 tahun itu dikenali sebagai Putera Syafiqul Syahiran Yusof.
“Baru lepas lari (joging), sedekah air pada kawan-kawan. Air beli di Pulau Kabu (Pantai Pulau Kekabu, Marang).
“Dulu sekolah SMK Chendering. Sekolah ‘istimewa’,” kata pemuda tersebut semasa berbual dengan Cik Din.
Dalam masa sama, Cik Din turut memberikan wang RM100 kepada pemuda tersebut selepas tindakannya memberi sedekah air kepada orang awam.
“Kita tak pernah miskin. Tahniah kepada yang membesarkan dan mengajar insan ini. Semoga ganjaran syurga buat anda,” kata Cik Din.
Menerusi ruangan komen, ramai yang mengenali pemuda tersebut, malah ada juga ahli keluarganya bercerita tentang kebaikan pemuda OKU itu.
“Waris saya tu. Nama dia Ciko orang panggil, baik dia. Rajin cari duit. Tapi ramai orang khianat dia,” komen okoku085.
“Dia sedekah air harga RM1 ke RM2, Allah bagi RM100 melalui orang lain,” kata Sean Shukor.
“Ciko, mana je kawasan Marang. Kalau ada orang meninggal nak kebumi, mesti ye nak gi (dia nak pergi), nak tolong. Budak jurus (baik), istimewa. Insya-Allah, ahli syurga amin,” kata edry_maju. – KOSMO! ONLINE
@peweronlinekita tak penah miskin… tahniah kepada yg mebesarkan dan mengajar insan ini… semoga gajaran syurga buat anda