SEBERANG PERAI – Bapa Muhammad Syahmi Azril Saidijamal, 18, pelajar yang berdepan kekangan kewangan untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, di sini terpaksa menjual kereta bagi menampung perbelanjaan anak dan keluarganya.
Ujar Saidijamal Abu Said, 43, dia menjual kereta Proton Iswara Aeroback dua minggu lalu demi membiayai kos perjalanan termasuk menyewa kereta untuk menghantar anak sulungnya itu.
“Saya tak mahu kacau dan guna duit anak (Muhammad Syahmi) hasil pemberian orang ramai. Demi masa depan anak sulung, saya sanggup jual kereta yang dibeli sejak 10 tahun lalu.
“Wang jualan kereta yang diterima sebanyak RM800 itu digunakan untuk kos perjalanan sepanjang kami ke sini (Pulau Pinang) termasuk makan minum kami sekeluarga.
“Sebahagiannya juga digunakan untuk urusan sekolah dua anak termasuk isteri yang dijangka menjalani rawatan radioterapi akibat kanser payudara tahap empat September nanti,” katanya di sini semalam.
Katanya, semalam merupakan kali pertama anak sulungnya itu serta dua adik lelakinya ‘berjalan’ jauh, keluar dari Kedah.
“Kami keluar awal pada pukul 5.45 pagi tadi dan tiba di sini pada pukul 7.30 pagi. Kami hadir bersama kira-kira 15 sanak saudara termasuk ibu dan ayah mertua. Urusan hari ini berjalan lancar.
“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku (kesempitan wang) termasuk isteri yang sakit tapi sebagai ayah saya bangga kerana Muhammad Syahmi akhirnya berjaya menjejak kaki ke IPG.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua atas sumbangan kepada anak saya. Semoga anak saya dapat membalas balik jasa semua dengan belajar bersungguh-
sungguh.
“Saya doa dia berjaya menjadi seorang guru dan bantu orang lain yang berdepan kesusahan,” ujarnya dalam nada sebak.
Pada 27 Jun lalu, Kosmo! melaporkan, impian remaja itu untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Tuanku Bainun mungkin tidak kesampaian ekoran masalah kewangan.















