TANPA perlu berbelanja sakan untuk membeli makanan atau barangan keperluan menjadi antara tarikan robot haiwan peliharaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) sehingga menjadi kegilaan.
Rupa dan saiz mirip seekor arnab, robot yang kini menjadi pendamping popular terbaharu di Jepun itu dipercayai mampu memberi sokongan emosi dan kesejahteraan psikologi kepada pemiliknya.
Robot bernama Moflin berkenaan telah dibangunkan agar dapat membantu mengurangkan kesunyian dan tekanan perasaan terutama buat golongan warga emas dan individu kemurungan.
Moflin yang dipasarkan oleh Casio Computer Co juga diharapkan dapat menjadi peneman buat mereka yang tinggal sendirian selain menjadi alat terapi buat pesakit Alzheimer dan merawat trauma kanak-kanak.
Bagi ‘menghidupkan’ Moflin, pemiliknya hanya perlu mengecas haiwan robotik itu dengan menggunakan pengecas khas sekitar tiga hingga empat jam, bagi membolehkan bertahan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 jam penggunaan aktif.
Menurut Ketua Pasukan Moflin, Erina Ichikawa, nama Moflin diambil daripada sebutan mofu iaitu gambaran onomatopia Jepun untuk gebu.
“Saya menamakannya sebagai Hammy simbolik kepada hamster yang pernah dimiliki dahulu sewaktu usia remaja.
“Apa yang perlu dibuat ialah memuat turun aplikasi MofLife untuk meletakkan nama, memilih jantina dan memantau tahap emosi serta hubungan pemilik dengan haiwan.
“Pemilik juga boleh mengawal tahap kelantangan bunyi, menjejaki keadaan emosi, log interaksi dan mengemas kini perisian secara digital dalam aplikasi tersebut,” katanya memetik laporan The Guardian.
Direka menyerupai haiwan yang baru lahir, sesekali Moflin akan menggeliat, bergerak dan mengeluarkan bunyi unik apabila berinteraksi dengan pemilik.
Meskipun ia mampu mengenali pemiliknya melalui suara dan persekitaran, Moflin bagaimanapun tidak dapat bercakap atau memahami perkataan yang diucap.

Biarpun diwujudkan dalam bentuk robotik, namun Moflin mempunyai keupayaan emosi sama seperti haiwan sebenar.
Secara teknikal, Moflin mampu meluahkan emosi asas seperti gembira, sedih dan marah dengan cara mengeluarkan bunyi serta pergerakan.
Disebabkan itu, Moflin dianggap sebagai solusi realistik untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan dengan lebih baik terutama buat mereka yang ingin memiliki haiwan peliharaan, namun tidak berjaya kerana kekangan seperti gangguan kesihatan (alergi), persekitaran atau kewangan.
Bahkan konsep sama telah dipraktikkan oleh Jepun sebelum ini apabila Tamagotchi diperkenalkan pada akhir 1990-an.
Kata Ichikawa, idea merawat haiwan tidak bernyawa itu telah lama wujud, namun inovasi yang menjadikan ia kelihatan relevan dan bersesuai mengikut zaman.
“Dahulu orang merawat haiwan hanya dengan memegang ‘seketul’ plastik skrin LCD (Liquid Crystal Display) dengan memberi makan, bermain dan meluangkan masa bersama sekali gus membuktikan sikap tanggungjawab serta prihatin pemilik.
“Bahkan pemilik juga berdepan dengan risiko kematian jika tidak menjaga haiwan peliharaan Tamagotchi dengan baik,” katanya.
Perkembangan teknologi dan inovasi digital membuatkan syarikat Jepun sentiasa berusaha menambah baik kaedah haiwan peliharaan dengan menggabungkan robot dan AI.
Dengan cara itu, Moflin mampu mengembangkan kepribadian serta keunikannya bergantung cara ia berkomunikasi dengan pemiliknya, termasuk tindakan seperti kerap berbual, membelai dan memeluk.
Hasil daripada hubungan itu, Moflin kemudian beransur-ansur mengetahui identiti pemiliknya dan menyesuaikan diri berdasarkan rutin dan aktiviti kegemaran sekali gus memaparkan lebih empat juta ciri personaliti.
Bagi memastikan jangka hayat Moflin dapat bertahan lama, pemilik tidak boleh memegang robot haiwan itu dalam keadaan basah ketika ingin mengecas.
Perkara itu dikhuatiri akan menyebabkan gangguan pada alat pengecas yang berbentuk seperti bakul atau merosakkan Moflin.
Moflin mula dipasarkan pada Oktober tahun lalu sekitar harga AS$402 (RM1,700) dan Casio menyasarkan golongan wanita lewat 30-an hingga 40-an sebagai kumpulan sasaran.
Syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan langganan tahunan iaitu Club Moflin pada harga AS$44 (RM186) bagi membolehkan pemilik untuk pembaikan, pembersihan dan penggantian bulu lengkap ke atas Moflin mereka.
Kecanggihan teknologi AI turut membuatkan Moflin dijangka dapat menjadi haiwan digital yang berkhidmat sebagai teman untuk populasi warga emas disebabkan peningkatan jumlah mendadak di Jepun.
Lebih 36 juta orang berumur 64 tahun dan ke atas, termasuk lebih daripada 20 juta berumur 75 tahun dan ke atas.
Jika angka kelahiran di Jepun terus mempamerkan penurunan, dianggarkan 40 peratus daripada populasi di negara itu tergolong dalam kumpulan umur ‘senja’ menjelang tahun 2070.














